KUALA LUMPUR – Lapan pelajar Malaysia dari Universiti Al-Azhar terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Port Said, pada Sabtu.
Education Malaysia Egypt (EME) berkata, dalam kemalangan pada jam 12 tengah hari itu, lima pelajar iaitu Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon, mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Manakala tiga yang lain, kata EME, iaitu Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri, dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi ditempatkan di wad untuk pemerhatian.
“Pada awal pagi ini, tiga pelajar tersebut telah dibawa ke hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut,’’ katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut EME, insiden tersebut turut mendapat perhatian Universiti Al-Azhar yang telah mereka menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said, Dr Syaima Amir Al Bana, Dr Fauziyah Muhallal, Dr Ahmad Al Sudani, dan Syaima’ Al Huseini untuk membantu rawatan.
Mereka juga, katanya memudahcarakan pengurusan bersama pihak hospital.
Dalam pada itu, EME menasihatkan pelajar agar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. – 26 Januari, 2025