KUALA LUMPUR – Ibu bapa disaran membeli kelengkapan persekolahan menerusi atas talian bagi mengelakkan ‘rambang mata’ selain dapat mengawal perbelanjaan secara lebih berhemah.
Itu pandangan pakar kewangan yang juga pengasas dan perunding Hijrahwealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir kepada ibu bapa yang mungkin terpaksa ‘bergelut’ dalam menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak.
Apatah lagi dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, selain pembukaan sesi akademik penggal pertama, rakyat Malaysia juga akan menyambut Tahun Baharu Cina, Thaipusam, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Rohani, keperluan sekolah anak-anak wajar diberikan lebih perhatian dan ia adalah sesuatu yang ibu bapa sudah maklum kerana persiapan perlu dilakukan pada setiap awal tahun.
“Amalan pengurusan kewangan dengan cara mengenalpasti serta menentukan jumlah perancangan kewangan yang diperlukan jangka masa pendek, sederhana dan panjang merupakan disiplin yang perlu ada dalam sesebuah keluarga.
“Lebih-lebih lagi tahun ini anak masuk sekolah dan bulan puasa serta raya dalam masa berturutan,” katanya ketika dihubungi Scoop.
Berdasarkan kalender 2025, sesi persekolahan penggal 1 sesi akademik 2025 akan bermula pada 16 Februari bagi kumpulan A, manakala kumpulan B pula pada 17 Februari 2025.
Sambutan Tahun Baharu Cina pula pada 29 dan 30 Januari, Thaipusam pada 11 Februari dan umat Islam dijangka berpuasa pada 1 Mac ini.
Manakala 1 Syawal jatuh pada 31 Mac. Keadaan ini menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan berpelanjaan yang banyak pada waktu yang hampir sama.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Barjoyai Bardai pula berkata setiap individu mesti berpihak di bumi nyata dengan sentiasa memadankan perbelanjaan dengan tangga gaji yang diperolehi.
Menurutnya, semua pihak harus menjauhi tabiat suka berhutang demi mengikut kemahuan hati, yang akhirnya mendatangkan kemudaratan di kemudian hari.
“Yang penting kita perlu sentiasa memadankan perbelanjaan dengan pendapatan dan merancang semua perbelanjaan sebelum berbelanja.
“Berhutang perlu dijauhkan daripada menjadi gaya hidup kerana ia akan menjadi tabiat yang akan membakar diri.
“Hidup berasaskan kepada kemampuan sikap dan semangat sentiasa bersyukur dengan rezeki pemberian Allah S.W.T akan menjadi kunci kejayaan seisi keluarga di dunia dan akhirat,” katanya.
Barjoyai juga menyarankan setiap keluarga mempunyai perancangan bulanan dan tahunan supaya dapat memantau aliran wang keluar pada setiap masa.
“Perancangan tahunan perlu meliputi semua belanja khususnya belanja persekolahan anak-anak, perancangan belian rumah, kenderaan, peralatan rumah dan perancangan tabung persaraan.
“Manakala perbelanjaan bulanan perlu diperincikan mengikut item dan secara harian agar dapat menentukan keluarga kita tidak boros berbelanja (sekali gus lebihan wang bulanan yang dapat dijimatkan boleh disalurkan kepada perancangan kewangan tahunan),” katanya. – 26 Januari, 2025