KUALA LUMPUR – Syarikat konsesi lebuh raya sememangnya membuat keuntungan yang konsisten setiap tahun malah ada yang meraih faedah selama beberapa dekad.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, misalnya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mengutip tol sejak 1988 dan telah beroperasi selama 37 tahun, malah di bawah perjanjian terbaharu, tempoh konsesinya dilanjutkan sehingga 2058.
“Begitu juga dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang telah mengutip tol sejak 2004 dan hanya akan tamat pada 2069.
“Syarikat-syarikat ini masih mempunyai beberapa dekad untuk mengaut keuntungan memandangkan pelanggan mereka adalah pengguna lebuh raya yang sama.
“Jadi, sudah tiba masanya syarikat konsesi lebuh raya ini menunjukkan muhibah dan menjalankan tanggungjawab korporat dengan membenarkan pengguna jalan raya menikmati 50% diskaun tol ketika mereka dalam perjalanan pulang semasa musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Rabu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tiada lagi tol percuma akan diberikan sempena musim perayaan.
Menurutnya, mesyuarat Kabinet pada tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia dan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Susulan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemberian tol percuma pada musim perayaan tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya.
Apa yang penting, kata Zahid ialah ialah pengguna jalan raya mengubah sikap dan merancang perjalanan apabila tiba musim perayaan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pendekatan lebih berkesan dan bersasar bagi membantu rakyat, susulan pengumuman kerajaan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan akan dibincangkan pada Mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
Beliau berkata keputusan menghentikan pemberian tol percuma itu, seperti yang dinyatakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, semalam adalah keputusan dasar yang dibuat sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menerima pandangan daripada semua pihak dan mengkaji langkah yang tepat untuk diambil seterusnya.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini, apabila sekembalinya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari lawatan luar negara, Insya-Allah akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu apa hasil perbincangan di peringkat Jemaah Menteri,” katanya. – 22 Januari, 2025