KUALA LUMPUR – Pemberian tol percuma pada musim perayaan tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Apa yang penting, kata Zahid ialah pengguna jalan raya mengubah sikap dan merancang perjalanan apabila tiba musim perayaan.
Malah, katanya jumlah gantian dalam bentuk pampasan oleh kerajaan kepada pemegang konsesi tol itu melebihi RM35 juta sehari.
“Walaupun ia tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung tetapi konsensi itu terpaksa dipanjangkan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya yang bertol,’’ katanya memetik Bernama.
Zahid berkata demikian selepas Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge (RBC) 2.0 di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tiada lagi tol percuma akan diberikan sempena musim perayaan.
Menurutnya, mesyuarat Kabinet pada tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia dan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Mengikut keputusan itu tiada (tol percuma) dan 2024 adalah tahun terakhir bagi pemberian tol percuma untuk musim perayaan.
“Kerajaan juga telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia yang mana perinciannya akan kita umumkan dalam masa terdekat,” katanya. – 22 Januari, 2025