Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
MCMC peruntuk lebih RM600 juta tambah baik WiFi universiti awam: Fahmi | Scoop

MCMC peruntuk lebih RM600 juta tambah baik WiFi universiti awam: Fahmi

Antara aduan diterima adalah isyarat WiFi rendah walaupun terdapat liputan Internet dan menambah menara perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di luar bangunan kampus

4:40 PM MYT

 

KOTA BHARU – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperuntukkan lebih RM600 juta untuk menambah baik akses rangkaian WiFi di semua universiti awam di seluruh negara yang dijangka siap tahun ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hal ini berikutan antara aduan yang diterima oleh MCMC daripada pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ialah isyarat WiFi rendah walaupun terdapat liputan Internet selain liputan mudah alih yang perlu ditambah baik, dan menambah menara perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di luar bangunan kampus.

“Kita dah mula fasa yang pertama di Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis dan dijangka 5 Feb depan akan siap, malah pihak KPT juga melalui Rolling Plan, Rancangan Malaysia ke-12 akan salurkan peruntukan sama ada untuk ganti atau tambah baik akses Internet di kampus.

“Memandangkan akan melibatkan jumlah kampus yang banyak, jadi kita akan selesaikan fasa pertama dan kita jangka dalam beberapa bulan lagi fasa kedua bermula dengan proses tender, selepas itu pelaksanaan … jadi, kita jangka sebelum hujung tahun semua yang dihasratkan ini dapat dilaksanakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Sebelum ini, MCMC dilaporkan akan memperuntukkan RM13.7 juta bagi perolehan lebih 2,000 titik akses rangkaian WiFi di tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA), iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis.

Pada 25 September tahun lepas, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan MCMC dan KPT agar segera menyelesaikan isu capaian Internet di IPTA kerana kebanyakan kampus akan menerima kemasukan pelajar dalam tempoh terdekat. – 21 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Related