KUALA LUMPUR – Empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway pada malam sambutan Tahun Baharu, disahkan mempunyai kandungan dadah dalam darah mereka.
Ketua Polis Subang, Wan Azlan Wan Mamat berkata, ia berdasarkan laporan daripada Jabatan Kimia yang diterima pada minggu lepas.
Beliau juga memaklumkan polis sudah merakam keterangan daripada 52 orang saksi yang terdiri rakan-rakan individu yang maut serta petugas di konsert tersebut.
Manakala seorang lagi mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Keterangannya masih belum diambil dan menunggu kebenaran dari PPUM.
“Manakala individu yang telah dibenarkan keluar dari PPUM pada minggu lepas telah diambil keterangan dan mempunyai kandungan dadah dalam darah,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, polis masih menyiasat individu yang membekalkan dadah kepada mangsa.
Pada 6 Januari lalu, polis telah merakamkan keterangan daripada penganjur konsert Pinkfish berhubung kematian empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati mereka mengambil pil ekstasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Husein Omar Khan berkata, terdapat tujuh mangsa dalam kejadian itu tetapi hadir secara berasingan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing.
“Kedua-dua hospital iaitu PPUM dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menerima tujuh orang pesakit yang telah menunjukkan simptom yang sama.
“Empat daripada mereka telah meninggal dunia manakala dua pesakit masih menerima rawatan di ICU dan seorang lagi telah dicaj dari hospital,’’ katanya. – 18 Januari, 2025