KUALA LUMPUR – Tujuh pekerja syarikat kurier disyaki terlibat mencuri bungkusan dikirim pelanggan membabitkan kerugian RM21,818, ditahan dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan bermula Isnin hingga semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, mereka yang ditahan adalah enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun.
Kejadian tersebut, katanya, dipercayai berlaku di gudang syarikat kurier berkenaan di Taman Cheras Indah di sini.
Menurutnya, kejadian itu disedari oleh pengurus keselamatan syarikat itu yang membuat siasatan dalaman selepas menerima aduan pelanggan bahawa mereka mendapat bungkusan kosong selepas penghantaran dibuat syarikat kurier itu.
“Siasatan dalaman mendapati terdapat beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa membuat urusan daftar keluar barang serta mengesyaki pekerja syarikat telah mencuri bungkusan milik pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata seorang lelaki dan wanita tempatan yang ditahan telah didakwa di Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada Khamis manakala baki lima lagi suspek direman empat hari bermula semalam hingga 20 Jan.
Kes disiasat di bawah Sekyen 381 dan 380 Kanun Keseksaan. – 18 Januari, 2025