KLANG – U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) merancang untuk melancarkan projek rangkaian 5G kedua dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan berkata, syarikat itu tidak akan memerlukan sebarang pembiayaan kerajaan dan rakan kongsi tempatan baharu.
Beliau juga menolak dakwaan yang dibuat oleh sesetengah penganalisis bahawa syarikat telekomunikasi itu bergelut untuk melancarkan rangkaian 5G.
“Apa kata kita tunggu 15 hingga 18 bulan nanti baru kita lihat erti perjuangan? Kami ditawarkan lebih banyak pinjaman daripada yang kami perlukan. Kami berpengalaman.
“Saya mulakan Digi beberapa tahun lalu, kemudian U Mobile dan REDtone Digital Bhd,’’ katanya kepada pemberita selepas melawat Pulau Ketam pada Jumaat.
Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya berkata pemilihan U Mobile Sdn. Bhd. sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara adalah berdasarkan beberapa faktor termasuk rancangan perniagaan dan teknikal, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
MCMC berkata, menerusi penubuhan rangkaian 5G kedua ini, ia membuka jalan untuk fleksibiliti dan keterangkuman perkhidmatan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, Vincent berkata syarikat itu sedang mempertimbangkan pembekal dari China iaitu Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corp, kerana mereka menawarkan teknologi paling canggih.
“Tidak perlu rakan kongsi tempatan yang baharu. Kami sudah mempunyai ramai rakan kongsi dan pelabur. Huawei dan ZTE hanyalah pembekal; mereka mungkin menyediakan sedikit pembiayaan,” jelasnya.
“Kami juga menggunakan modal sendiri, dan pihak bank sanggup meminjamkan wang kepada kami. Jadi, tiada apa yang telah dimuktamadkan lagi; rundingan masih berjalan,” tambahnya.
Sementara itu, beliau menyasarkan untuk menyenaraikan pengendali rangkaian mudah alih itu di Bursa Malaysia menjelang akhir 2025 dan sedang giat mengusahakan tawaran awam permulaan (IPO).
“Ada kemungkinan besar untuk IPO U Mobile. Kami berharap untuk mengemukakannya dalam beberapa bulan akan datang dan disenaraikan menjelang akhir 2025. Saiz IPO masih dalam perbincangan, dan masih terlalu awal untuk memberikan butiran lanjut,” katanya. – 17 Januari, 2025