KUALA LUMPUR — Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan akan bertanding 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Hamzah, yang kini dalam siri Jelajah Bersatu di Sabah berkata, PN sebelum ini memenangi 11 daripada 18 kerusi yang dipertandingkan pada PRN16 Sabah.
“Jika anda membenarkan kami melakukannya (untuk bertanding 18 kerusi) kenapa tidak?” katanya seperti yang dilaporkan BH Online.
Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Jelajah Bersatu Sabah 2025 bertempat di Padang Taman Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah semalam. Beliau dijadual melawat beberapa daerah dalam masa dua hari ini.
Program tersebut turut dihadiri Naib Presiden Bersatu yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Tempoh pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang ditadbir oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan berakhir pada Oktober 2025.
Dalam pada itu, Hamzah ketika mengulas mengenai jelajah berkenaan, beliau memberitahu terdapat bukti yang menunjukkan Bersatu masih sebuah parti yang aktif di Sabah dan menolak dakwaan ia sudah ‘tidak wujud’.
“Kami telah membuat persediaan hampir lima tahun.
“Kerana ramai daripada pemimpin GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang mengatakan Bersatu sudah tidak wujud lagi. Hari ini, ia (program jelajah) menunjukkan bahawa kita tidak hanya dapat mengumpulkan ahli kita tetapi juga dapat melihat penyokong yang bukan menjadi ahli kita.
“Ini memberikan semangat kepada saya bukan hanya sebagai timbalan presiden tetapi juga sebagai salah seorang yang akan berperanan sama dengan Ronald dalam PRN Sabah nanti untuk kita mencapai kemenangan,” katanya.
Hamzah juga memberitahu, pihaknya mengambil pendekatan dengan bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik di Sabah.
“Kita dalam waktu ini adalah sebuah parti yang saya kata terbuka, tidak ada perbincangan formal tetapi secara tidak formal, Ronald sudah bertemu dengan ramai rakan-rakan di Sabah,’’ katanya. – 16 Januari, 2025