KUALA LUMPUR — Seorang lelaki warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat 39 sebuah bangunan residensi di Jalan Yap Kwan Seng di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.39 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 29 tahun yang merupakan penduduk di residensi terbabit.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan anggota badannya tidak sempurna. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Pemeriksaan lanjut di kediaman mangsa tidak menemui sebarang nota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan kejadian masih diteruskan dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan mayat mangsa dalam keadaan yang tidak sempurna di atas kawasan laluan pejalan kaki berhampiran bangunan residensi itu. – 15 Januari, 2025