KUALA LUMPUR – Undang-undang yang terkini diperlukan bagi membolehkan sektor kesihatan berdepan dengan kemajuan teknologi, kata Pengarah Bahagian Kesihatan Digital Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Maheshwara Rao Appannan.
Menurutnya, undang-undang baharu untuk menangani kerumitan pendigitalan penjagaan kesihatan diperlukan untuk memastikan ‘perlindungan’ di tengah-tengah kemajuan penyelesaian digital.
“Pada masa ini, Kementerian Kesihatan mempunyai Akta Teleperubatan 1997, Akta Perubatan 1971, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Ini adalah akta yang lama.
“Kini, apabila kita mula melaksanakan teknologi terbaru, kita perlu mempunyai undang-undang baharu yang sejajar dengan era teknologi,’’ katanya di Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025, hari ini.
Maheshwara merupakan salah seorang ahli panel bagi forum ‘Bridging Healthcare Gaps: Technology Adoption for Inclusive Healthcare Access’.
Jelasnya, ketika Kementerian Kesihatan sedang merangka Akta Kesihatan Digital, petugas kesihatan telah bergantung dan mematuhi garis panduan tadbir urus data kerajaan dengan ketat, selain undang-undang lain di bawah Kementerian Digital.
“(Pembentangan) Akta Kesihatan Digital akan mengambil sedikit masa. Sementara itu, adalah penting bagi kita (Kementerian Kesihatan) untuk melindungi apa sahaja maklumat yang kita ada.
“Bagaimanapun, (langkah kawalan sedemikian) tidak sepatutnya menghalang perkembangan ke atas pendigitalan,’’ katanya sambil menekankan bahawa ‘Hippocratic Oath’ yang dilakukan oleh profesional perubatan menggariskan perlindungan data pesakit sebagai dan menghormati kerahsiaan.
Ditanya mengenai halangan lain yang dihadapi oleh kerajaan dalam usahanya untuk mendigitalkan bidang penjagaan kesihatan, Maheshwara mengakui bahawa perjalanan itu tidak berjalan lancar, dan tidak mungkin menjadi lebih mudah.
Selain menunggu peraturan yang dikemas kini, cabaran lain ialah menguruskan petugas penjagaan kesihatan, yang perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pesakit dari semasa ke semasa.
“Kami perlu memastikan kepercayaan digital dalam kalangan penduduk di Malaysia diperkukuhkan dan memandangkan mereka adalah pelanggan utama kami, maka mereka perlu percaya dengan apa yang kami lakukan.
Ahli panel lain ialah Ketua Pegawai Tadbir Urus dan Kualiti King’s College Hospital di Jeddah, Dr Rizwan Hamid dan presiden Mayo Clinic Platform US, Dr John Halamka yang menyertai perbincangan itu secara maya.
Moderator sesi berkenaan adalah Ketua Pegawai Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Muhammad Razali Anuar.
IRC yang diadakan selama dua hari dan berakhir hari ini, dianjurkan oleh MCMC, sebagai forum global yang menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri dan pakar untuk meneroka tema ‘‘Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era’. – 8 Januari, 2025