Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Polis Selangor batalkan konsert jika penganjur gagal beri keyakinan aspek keselamatan | Scoop

Polis Selangor batalkan konsert jika penganjur gagal beri keyakinan aspek keselamatan

Sekiranya penganjur gagal memberikan jaminan, kita tidak boleh benarkan konsert itu dianjurkan, kata Hussein

4:00 PM MYT

 

SHAH ALAM – Polis tidak teragak-agak untuk membatalkan sesuatu konsert jika penganjur gagal memberikan keyakinan mengenai aspek keselamatan termasuk bersih daripada dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis juga akan mengambil langkah memanggil semua penganjur konsert yang sudah diberikan permit bagi pengunjung maut tidak berulang.

Katanya, dalam konsert Pinkfish yang diadakan di Sunway pada malam tahun baharu, penganjur didapati gagal mengawal aktiviti pengedaran dadah.

“Kita juga tidak boleh menolak pihak penganjur terlibat atau tidak dalam pembekalan pil ekstasi ini. Individu yang hadir dalam konsert juga boleh secara bersendirian dan perkara ini semua dalam siasatan.

“Di masa hadapan, sebarang penganjuran konsert pihak penganjur perlu memberi keyakinan kepada polis bahawa mereka boleh mengawal sebarang kemasukan dadah dalam konsert.

“Sekiranya mereka (penganjur) gagal (beri jaminan) jadi kita tidak boleh benarkan konsert itu dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, siasatan polis mendapati tujuh individu termasuk empat yang meninggal dunia selepas menghadiri Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway pada malam sambutan Tahun Baharu, mengambil pil ecstasy.

Pil berkenaan diperoleh di dalam dan luar premis konsert berkenaan, dengan sebiji pil ekstasi dijual pada harga RM50 sebiji. Konsert itu dihadiri 14,000 pengunjung.

Mengulas lanjut, Hussein berkata adalah menjadi tanggungjawab penganjur untuk memastikan konsert anjuran mereka bebas daripada anasir dadah meskipun terdapat kehadiran polis dalam kawasan sekitar.

“Pihak polis hadir di konsert tetapi kehadiran polis lebih kepada pemantauan di luar, bagi memastikan dalam keadaan aman.

“Mereka (penganjur) kena kawal pengedaran dadah dalam premis tersebut sebab benda tu berlaku dalam premis yang tertutup bukan kawasan terbuka,” katanya.

Polis juga, katanya akan melihat keperluan garis panduan yang baharu untuk sesuatu penganjuran konsert pada masa akan datang.

“Sekiranya dibenarkan bilangan yang boleh hadir adalah mengikut keluasan tempat selain aspek keselamatan berhubung penjualan dadah dalam mana-mana konsert.

“Yang ketiga adalah pengudaraan. Kemungkinan atas kesesakan begitu ramai boleh menyebabkan berlakunya sesak nafas mana-mana individu ditambah pengambilan dadah,” katanya. – 3 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Related