KUALA LUMPUR — Permohonan bagi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan oleh banduan yang terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, ini berikutan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Seri Paduka Baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.
“Kuasa ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan itu hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda pada mesyuarat akan datang.
“Semua pihak dingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Pada 6 Januari ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang Di-pertuan Agong (YDPA) terdahulu.
Sebelum ini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng membidas Umno kerana akan bersama dengan PAS mengadakan Himpunan Solidariti Najib Razak pada 6 Januari ini.
Guan Eng berkata, tindakan itu akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan Umno yang kini menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga membidas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh kerana mempersoalkan sama ada Pengampunan Diraja Anwar pada 2018 telah melalui Lembaga Pengampunan.
Namun Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesahkan Umno tidak pernah berbincang apatah lagi mahu bekerjasama dengan PAS untuk menganjur himpunan berkenaan.
Terdahulu Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan memaklumkan bekas Perdana, Datuk Seri Najib Razak perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki hukuman kepada tahanan di rumah.
Pihak terbabit berkata, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – 3 Januari, 2024