KUALA LUMPUR – Stesen LRT KLCC telah ditutup sementara ekoran kebakaran melibatkan panel kotak suis api yang berlaku pada 4.15 petang tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohamed Azimin Mohamed Zahidi berkata, api berjaya dipadamkan oleh pasukan ERT KLCC sebelum pasukan tiba di tempat kejadian.
“Pasukan ERT KLCC menggunakan alat pemadam api jenis Carbon Dioxide (CO2) bagi memadam kebakaran tersebut.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan. Unit siasatan kebakaran telah dimaklumkan. Tiada mangsa yang terlibat dan keadaan terkawal,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memberitahu, Stesen KLCC ditutup buat sementara waktu ekoran laporan awal terdapat kepulan asap dikesan di bahagian bilik peralatan elektronik yang terletak di dalam stesen.
“Penumpang disarankan untuk ke Stesen Persiaran KLCC dan Stesen Ampang Park untuk meneruskan perjalanan mereka.
“Perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan di antara Stesen Ampang Park, Stesen KLCC dan Stesen Dang Wangi,’’ katanya dalam kenyataan. – 2 Januari, 2025