Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Gesaan untuk peraturan media sosial diperketatkan bagi lindungi kanak-kanak, bendung jenayah dalam talian | Scoop

Gesaan untuk peraturan media sosial diperketatkan bagi lindungi kanak-kanak, bendung jenayah dalam talian

Australia telah mengambil langkah tegas melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial dan seruan sama turut kedengaran daripada pihak tertentu termasuk agensi penguatkuasaan

2:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa di negara ini menyokong penuh peraturan media sosial yang lebih ketat dalam usaha mereka untuk membendung jenayah dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi kanak-kanak.

Gesaan itu dibuat selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menekankan kementeriannya menyerahkan tugas penguatkuasaan kepada platform media sosial mengenai sekatan had umur sebagai jaminan kestabilan polisi kerana pihaknya tidak mahu menyekat kebebasan bersuara.

Di peringkat antarabangsa, negara seperti Austalia telah mengambil langkah tegas dalam isu melibatkan media sosial.

Pada 28 November lalu, Australia meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Had Umur Minimum Media Sosial) 2024 yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial.

Peraturan itu dikuatkuasakan selepas 128 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat bunuh diri dalam masa lima tahun dengan peningkatan kes sebanyak 1.9% setiap tahun, menurut laporan tahunan oleh Suruhanjaya Keluarga dan Kanak-Kanak Queensland.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong berkata peraturan yang lebih ketat membantu polis mengenalpasti suspek dengan lebih berkesan dan membuat tangkapan lebih cepat. – Gambar fail Bernama

Bercakap kepada Scoop, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong menekankan kepada peraturan ketat untuk penguatkuasaan undang-undang.

“Peraturan media sosial di Malaysia adalah penting untuk menangani ancaman jenayah yang semakin meningkat melibatkan kanak-kanak seperti pornografi kanak-kanak, eksploitasi dan buli siber.

“Sebagai pegawai polis, kami menghadapi cabaran besar dalam mengesan pelaku yang mengeksploitasi ruang dalam talian yang tidak dikawal selia. Peraturan yang lebih ketat akan membolehkan kita mengecilkan data dengan lebih berkesan, mengenalpasti suspek dan membuat tangkapan dengan lebih capat,’’ katanya.

Dalam operasi bersama yang diadakan baru-baru ini, Op Pedo menemui lebih 40,000 bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM).

Operasi yang dijalankan oleh polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu itu telah menahan 13 lelaki berusia antara 20 hingga 74 tahun.

Cha turut menekankan kepentingan tindakan pantas.

“Peraturan yang lebih ketat membantu kami mengecilkan data, mengenalpasti suspek dengan lebih berkesan dan membuat tangkapan lebih cepat.

“Langkah-langkah ini penting untuk memastikan pesalah bertanggungjawab dan melindungi kanak-kanak yang terdedah kepada pemangsa dalam talian,” katanya.

Untuk rekod, Cha berjaya menyiasat dan menjalankan operasi ke atas beberapa kes melibatkan kehilangan kanak-kanak bawah umur, pembunuhan, penipuan, peras ugut dan perjudian.

Dilaporkan pasukannya telah menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang didakwa diculik sekumpulan remaja dari sebuah pangsapuri di Shah Alam, pada 18 November lalu.

Bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata sekolah harus mendidik kanak-kanak menggunakan media sosial. – Gambar fail Bernama, 29 Disember, 2024

Sementara itu, bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan menekankan kepada keperluan untuk pelaksanaan peraturan tetapi menggesa pendekatan yang seimbang.

“Peraturan adalah perlu, tetapi kita harus memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran dan mewujudkan mekanisme untuk mangsa melaporkan isu.

“Mengharamkan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur mungkin bukan penyelesaian terbaik. Sebaliknya sekolah harus mendidik kanak-kanak menggunakan media sosial yang bertanggungjawab untuk mengurangkan kes sebegitu dari semasa ke semasa,” kata Ragunath. 

Australia telah melaksanakan peraturan paling ketat yang menyasarkan platform pelesenan yang akan dilaksanakan pada 2025.

Menerusi undang-undang yang dilaksanakan berkaitan had umur minimum media sosial, ia menghendaki gergasi teknologi, seperti Instagram, Meta hingga TikTok, untuk melarang kanak-kanak bawah umur daripada menggunakannya, atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta (RM143.2 juta).

Percubaan untuk menguatkuasakan undang-undang itu akan bermula pada Januari, dengan larangan berkuat kuasa dalam tempoh setahun.

Beberapa negara telah pun memberikan komitmen untuk mengurangkan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak melalui undang-undang, tetapi peraturan Australia adalah yang paling ketat. – 29 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Related