KUALA LUMPUR – Adakah kemunculan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai pemain utama industri minyak dan gas di Sarawak bakal memberikan cabaran kepada syarikat gergasi Petroliam Nasional Bhd (Petronas)?
Syarikat minyak dan gas nasional Petronas, yang merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai dalam Global Fortune 500, mungkin terpaksa membuat keputusan sukar mengenai tenaga kerjanya berikutan perjanjian pengedaran gas, yang masih belum diumumkan butirannya.
Menurut sumber, Petronas dijangka mengalami kerugian hasil kira-kira 30% apabila formula yang dipersetujui untuk pengedaran gas asli di Sarawak dilaksanakan.
Sumber yang tidak mahu didedahkan namanya, memberitahu Scoop, mesyuarat dalaman dan ‘town hall’ Petronas telah membincangkan mengenai kemungkinan pengurangan kakitangan sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengatasi kerugian yang dijangkakan.
Selain kemungkinan perubahan dalam strategi pampasan syarikat dengan penamatan bonus dan pengurangan kenaikan gaji bagi pekerja di pelbagai jabatan, sumber tersebut juga mendakwa Petronas tidak mungkin akan mengekalkan kebanyakan kakitangan kontraknya.
Sambil menekankan bahawa kakitangan sepenuh masa tidak akan terlepas daripada dakwaan proses pemberhentian, sumber berkata Petronas boleh mengurangkan elaun pengurus besar dan kanan, yang mungkin juga diminta untuk mengosongkan jawatan untuk memihak kepada kakitangan peringkat eksekutif.
‘Projek’ untuk mengawasi pemberhentian ini, dengan sebahagian daripadanya boleh dilaksanakan menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS) difahamkan telah ditubuhkan oleh Petronas – yang mempunyai hampir 50,000 pekerja di lebih 100 negara.
Dakwaan pengurangan pekerja itu dijangka menjadi salah satu topik yang akan disebut dalam ucapan presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, dijadualkan pada Februari tahun depan.
Selain itu, kemungkinan penurunan margin untung-rugi Petronas juga boleh menjejaskan keupayaan syarikat untuk membeli peralatan yang diperlukan dalam operasinya, dakwa sumber tersebut, sambil menambah kebanyakan program team building juga telah dibatalkan sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan.
Projek kumpulan tertentu yang dianggap tidak penting juga didakwa dibatalkan bagi mengurangkan perbelanjaan sedia ada, tambah sumber itu.
Awal bulan ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan mendedahkan impak kewangan Petros yang mengambil alih daripada Petronas sebagai pengagregat tunggal di Sarawak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen pembangkang turut mendakwa pemindahan hak kepada Petros boleh mengurangkan hasil petroleum Petronas – yang bertanggungjawab menghasilkan 28% hasil kerajaan pada 2022 – kepada 30% ke 40%.
Fadhli turut meminta kerajaan merangka pelan kontingensi untuk menangani kemungkinan kekurangan hasil Persekutuan.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan penyelesaian secara baik akan diambil untuk menangani pertikaian yang berterusan antara Petronas dan Petros berhubung pengedaran gas asli di Sarawak.
Sambil menekankan Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang memberikan hak milik kepada Petronas terhadap semua sumber minyak dan gas (O&G) di Malaysia, Anwar berkata adalah penting syarikat itu diiktiraf sebagai entiti nasional .
Bagaimanapun, beliau menambah Petronas perlu mengiktiraf keperluan untuk menyokong Petros bagi membolehkan syarikat itu muncul sebagai pemain industri yang penting, sambil menyatakan bahawa kedua-dua syarikat mesti bekerjasama untuk semua aktiviti carigali minyak dan gas baharu pada masa hadapan.
Difahamkan perkara ini dikaitkan dengan usaha Sarawak untuk tuntutan autonomi yang lebih besar, dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 10 Disember lalu menyatakan isu pengagihan gas itu sudah boleh dianggap selesai sementara menanti pengumuman sebenar yang akan dibuat Perdana Menteri.
Walaupun beliau bersetuju mungkin terdapat sedikit pengurangan pada keuntungan Petronas disebabkan oleh perjanjian pengedaran gas, namun perkara itu boleh ditangani dengan sewajarnya, sambil menjelaskan bahawa kerjasama antara Petros dan Petronas adalah perlu kerana mereka secara kolektif mendominasi sebahagian besar rizab gas di Sarawak.
Pada Februari tahun ini, Petros dilantik sebagai gas aggregator tunggal di Sarawak dan akan berperanan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran serta penjualan gas asli di Sarawak.
Pada tahun 2020, perjanjian telah ditandatangani antara Petronas dan Petros yang memberikan kuasa penuh dan autoriti kepada Petros terhadap pembekalan, jualan, dan pengedaran gas asli dalam di negeri itu.
Scoop telah menghubungi Petronas mengenai perkara ini dan sedang menunggu maklum balas. – 29 Disember, 2024