KUALA LUMPUR – Penggunaan perkataan ‘jihad’ dalam kutipan derma bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura yang kalah dalam kes saman tiga pemimpin DAP, tidak menggambarkan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, jihad adalah perkataan mulia namun apabila merujuk kepada kenyataan Siti Mastura, ia adalah kenyataan fitnah ke atas tiga pemimpin DAP dan telah dibuktikan di mahkamah.
Jelasnya, ia bukan hanya melibatkan DAP sahaja malah jika fitnah itu berlaku ke atas orang Islam maka teguran perlu diberikan.
“Guna perkataan jihad iaitu satu kesalahan jenayah (fitnah) untuk kumpul dana bagi membantu rakan seperjuangan dan menganggap ia sebagai tanggungjawab agama, maka itu salah,’’ katanya menerusi video yang dimuatnaik dalam TikToknya.
Pada 4 Disember lalu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, diarah membayar RM750,000 kepada veteran DAP, Lim Kit Siang serta dua Ahli Parlimen parti itu selepas kalah dalam saman fitnah.
Dalam keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hakim Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Siti Mastura disaman selepas membuat dakwaan Kit Siang, Guan Eng dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng semasa berceramah di Kemaman, Terengganu pada 2023.
Berikutan itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dalam laporan sebuah portal berkata tidak salah ahli semua peringkat parti PAS untuk menyumbang dalam ‘derma jihad’ kepada Siti Mastura.
Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, ada cara yang lebih baik untuk melawan pemimpin DAP namun bukan menerusi fitnah.
“Lawanlah DAP di tempat mereka bertanding (pada pilihan raya). Itu caranya. Ada beberapa menteri dari DAP, maka lawan dari segi gerak kerja, bukan menggunakan fitnah kerana ia tidak menggambarkan perjuangan Islam,’’ katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Sahul HM berkata, PAS sepatutnya menegur seluruh saf kepimpinan mengenai bahaya fitnah selepas salah seorang pemimpin politiknya kalah dalam kes saman berkenaan.
Jelasnya, rakyat tidak kisah jika derma itu adalah bagi tujuan membantu tetapi apabila istilah ‘jihad’ digunakan, maka ia menunjukkan perbuatan memanupulasi agama.
“Perkara pertama yang sepatutnya dilakukan oleh PAS adalah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang bahaya fitnah dan menegur seluruh saf kepimpinan dan ahli supaya tidak menyebarkan fitnah. Itu baru Islam.
“Kami tak kisah pun anda memungut derma sesama sendiri atas tujuan saling membantu tetapi yang kami kisah adalah apabila anda menggunakan istilah agama seperti ‘jihad’ untuk menjustifikasikan perbuatan anda,’’ katanya.
Sementara Timbalan Presiden Amanah yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, dengan mengutip derma berkenaan maka ia menjadikan tindakan yang tidak beretika iaitu memfitnah sebagai sesuatu yang mulia.
Sedangkan derma, katanya adalah sesuatu yang mulia dalam Islam tetapi bukan untuk membela perbuatan fitnah.
“Kutip derma atau infak sangat mulia tapi bila infak untuk bela fitnah iaitu sesuatu yang telah dibuktikan, ini adalah isyarat yang sangat negatif dan tindakan tidak beretika,’’ katanya. – 26 Disember, 2024