KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) telah membuat laporan polis berhubung insiden kedua melibatkan seekor kucing yang ditemui mati dalam kawasan kampusnya hari ini.
Menerusi kenyataan media, UM memaklumkan pihaknya amat prihatin terhadap perkembangan membabitkan kematian ngeri beberapa ekor kucing sekitar kampus serta komited untuk memastikan kawasan kampus menjadi persekitaran yang selamat.
“Insiden ini merupakan kes kedua yang berlaku dan langkah ini diambil untuk membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut serta memastikan tindakan diambil sekiranya terdapat unsur penganiayaan oleh manusia.
“Sebagai langkah proaktif, pihak pengurusan UM pada Ogos lepas telah meluluskan penubuhan ‘Universiti Malaya Animal Guardians’, satu inisiatif yang bertujuan menangani isu haiwan terbiar dalam kampus,” katanya.
Antara fungsi penubuhan tersebut ialah bagi mengenal pasti haiwan terbiar dalam kawasan kampus dan menyediakan perlindungan dan rawatan kepada haiwan diselamatkan.
Selain itu, ia turut berperanan meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai perlindungan dan kebajikan haiwan serta pencegahan kekejaman terhadap binatang serta bekerjasama dengan Jabatan Harta Benda (JHB) untuk menyelamatkan haiwan-haiwan berkenaan.
Di samping itu, Pejabat Keselamatan UM juga akan meningkatkan kawalan serta menyeru semua warga kampus yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini untuk menghubungi pihak keselamatan di talian 03-79677777.
Rabu lalu, satu laporan polis dibuat Kesatuan Mahasiswa UM Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (MMUM FPE) susulan penemuan dua bangkai kucing di fakulti terbabit dalam keadaan dicacatkan dipercayai didera.
Polis kemudiannya mengesahkan kematian kucing tersebut bukan kerana dibunuh atau didera, sebaliknya akibat diserang anjing liar. – 20 Disember, 2024