KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Parti Muda, Amira Aisya Abdul Aziz diselar kerana mempersoalkan pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuatkuasa 1 Januari 2025.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di aplikasi X meminta Amira, yang disifatkan membuat kenyataan tanpa asas fakta supaya meneliti Perlembagaan Sabah.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR, turut meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa itu memuat turun versi PDF mengenai Perlembagaan Negeri Sabah sebagai rujukan.
“Sebelum YB (Yang Berhormat) membuat kenyataan tanpa asas fakta seperti ini, seharusnya YB teliti dahulu Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah yang jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan TYT ( Yang Dipertua Negeri) Sabah?,” katanya hari ini.
Sebelum YB membuat kenyataan tanpa asas fakta seperti ini, seharusnya YB teliti dahulu Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah yang jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan TYT Sabah.
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) December 17, 2024
YB boleh muat turun PDF penuh (versi BI) di https://t.co/hPemchqCQy https://t.co/ibMcXTn7Kf pic.twitter.com/CogLUToyqC
Terdahulu, Amira menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi X, menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya sebagai hipokrit apabila memperjuangkan reformasi tetapi membenarkan pemimpin yang pernah terpalit kes rasuah untuk diberikan jawatan tertinggi dalam Persekutuan atau negeri.
Pemimpin Muda itu mempersoalkan pelantikan Musa Aman sebagai TYT Sabah.
“Dulu kata nak lawan rasuah. Hari ini orang yang mereka dulu kata perasuah dapat jawatan,’’ demikian katanya menerusi klip video itu.
Berdasarkan Perlembagaan Sabah, Yang Dipertua Negeri Sabah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sabah.
Di bawah Perlembagaan Negeri, Yang Dipertua Negeri dilantik selama empat tahun.
Hari ini bekas Ketua Menteri Sabah Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di sini, hari ini.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Musa, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003, menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat dan memegang jawatan itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018, menjadikannya Ketua Menteri Sabah yang paling lama memegang jawatan tersebut.
Selain berkhidmat sebagai Ketua Menteri, Musa yang merupakan Adun Sungai Sibuga selama enam penggal (1994-2020) juga pernah memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh. – 17 Disember, 2024