Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
'Tarik balik kenaikan tambang' Loke bagi amaran pada pengusaha feri di Langkawi | Scoop

‘Tarik balik kenaikan tambang’ Loke bagi amaran pada pengusaha feri di Langkawi

Justeru Loke memberi amaran kepada pengusaha feri di Langkawi supaya tidak meneruskan cadangan untuk menaikkan harga tiket seperti yang diumumkan hari ini

1:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama termasuk Langkawi akan mendapat bantuan subsidi diesel mulai 1 Januari 2025, justeru pengusaha feri di Langkawi diminta menarik balik kenaikan harga tiket.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam kenyataannya turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan pengusaha feri di Langkawi yang membuat pengumuman itu pada hari ini.

“Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas harga tiket perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang-alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi yang akan dinaikkan antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.

Loke turut memberitahu, kementeriannya baru mendapat kelulusan prinsip daripada Kementerian Kewangan pada Jumaat, bahawa semua pengusaha feri di pulau utama layak mendapat bantuan subsidi diesel mulai 1 Januari 2025.

Jelasnya, pengusaha feri yang menaikkan kadar tambang itu khusus kepada warga tempatan dan pelancong domestik tidak layak menerima subsidi diesel.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik,” katanya.

Terdahulu, pengusaha feri Langkawi, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, kenaikan tambang itu membabitkan kategori, pelancong warganegara, pelancong bukan warganegara dan penduduk tempatan.

Bagi pelancong warganegara, perjalanan sehala dari Kuala Perlis ke Langkawi, harga asal RM21 untuk dewasa dinaikkan RM3 menjadi RM24.

Manakala kanak-kanak pula daripada RM16 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM19.

“Kadar tambang laluan Kuala Kedah ke Langkawi, dari RM26.50 dinaikkan RM3.50 menjadi RM30 untuk dewasa, kanak-kanak pula dari RM20.50 kepada RM24,” katanya.

Norhafiz berkata, bagi pelancong dewasa bukan warganegara, perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi RM27 dinaikkan RM8 menjadi RM35, manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi RM34.50 dinaikkan RM10.50 menjadi RM45.

Beliau berkata kadar tambang perkhidmatan feri syarikat itu sepatutnya telah dinaikkan pada 5 Ogos 2022 iaitu RM6 bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dan RM7 bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi.

Namun beliau berkata kenaikan tersebut dikurangkan 50 peratus ketika itu atas faktor pemulihan pascaCOVID-19. – 15 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Related