KUALA LUMPUR — Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menyifatkan tindakan mengejut Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang meletak jawatan sebagai bendahari agung Perikatan Nasional (PN) adalah satu perkara serius.
Bercakap kepada Scoop, beliau berkata perkara berkenaan tidak pernah dibawa untuk perbincangan dengan kepimpinan PAS sebelum ini.
“Kita akan dengar pandangan, kerana perkara ini besar, tindakan Dr Sam (Ahmad Samsuri) melepaskan jawatan Bendahari PN itu satu perkara yang serius.
“Saya pun terkejut beliau letak jawatan itu, maknanya (keputusan itu) tidak dibincangkan dahulu, tapi tentu ada sebabnya beliau membuat keputusan itu,” katanya ketika dihubungi.
Justeru, Hashim berkata, kepimpinan PAS akan mengadakan pertemuan di Bangi, Sabtu ini yang antara lain bagi membincangkan hala tuju parti termasuk keputusan peletakan jawatan Ahmad Samsuri sebagai bendahari agung PN.
“(Saya) Tidak boleh saya beri pandangan seorang untuk tentukan dasar parti, berilah masa sikit untuk berbincang perkembangan mutakhir yang berlaku sekarang ini.
“Kita ada majlis Sabtu ini, dari pagi hingga tengahari di Bangi cuma tidak secara rasmi, kita akan bincang mengenai kedudukan ini. InsyaAllah semua kepimpinan PAS dijangka hadir dan kebiasaannya begitu, di majlis itu nanti terbukalah untuk yang hadir itu berbincang dan memberi pandangan mereka.
“Kita nak menyatukan pemikiran tertentu dan beberapa isu utama akan dibangkitkan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mengunci mulut mengenai perletakan jawatan sebagai bendahari agung PN kelmarin.
Menerusi hantaran yang dibuat di Facebooknya, beliau mengungkap kata-kata bekas pemain bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Kareem Abdul-Jabar mengenai melakukan sesuatu pada masa yang sesuai.
“Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ianya mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah,’’ tulisnya.
Hubungan PAS dan Bersatu sebelum ini sedikit tegang susulan kontroversi mengenai calon yang lebih layak diangkat sebagai Perdana Menteri daripada gabungan PN.
Ia berikutan kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan Muhyiddin sebagai calon tepat bagi jawatan itu, namun disanggah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang berpandangan calon daripada parti Islam itu lebih layak.
Polemik berhubung jawatan itu berterusan selepas Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan supaya Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN.
Sementara itu, Hashim ketika ditanya sama ada isu utama itu berkait kerjasama dalam gabungan PN dan keputusan yang banyak ditentukan Bersatu, beliau bagaimanapun enggan memperincikannya.
Tambah Hashim, sebarang pandangan boleh dibawa untuk dibincangkan pada Majlis Syura Ulama PAS nanti.
“Selepas ini kita ada lagi Majlis Syura, dulu kita putuskan kerjasama dengan DAP pun atas pandangan Majlis Syura.
“Apapun kita tidak akan gopoh dalam membuat keputusan seterusnya,” katanya. – 13 Disember, 2024