KUALA LUMPUR – Beberapa Ahli Parlimen menolak syor yang disarankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh antaranya siasatan jenayah dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mereka berhujah Parlimen tidak boleh diperkudakan untuk membolehkan tindakan diambil ke atas orang tertentu.
Antaranya termasuk Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang) yang tidak bersetuju siasatan jenayah dijalankan ke atas Dr Mahathir apatah lagi melihat kepada usianya yang sudah hampir 100 tahun.
Hassan memberitahu, beliau merupakan pengkritik tegar Dr Mahathir, bukan pentaksudnya namun kerajaan perlu berlaku adil kepadanya.
“Laporan RCI ini saya sokong tetapi saya tidak bersetuju dengan rumusan yang disyorkan oleh suruhanjaya ini yang mengesyorkan Tun Mahathir disiasat di bawah kanun keseksaan.
“Tapi bila disyorkan buat laporan polis, ambil tindakan ke atas Tun Mahathir yang hampir berusia 100 tahun. Keluar masuk IJN (Institut Jantung Negara), sanggupkan kita buat kepada begini kepada bekas Perdana Menteri,’’ katanya dalam perbahasan laporan RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang antaranya mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Azalina ketika mengemukakan usul berkenaan berkata, ia adalah komitmen diberikan kerajaan sebagai platform kepada semua Ahli Parlimen untuk membahaskan isu berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Sementara itu Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pula berkata, langkah yang diambil ini menunjukkan dendam kesumat seseorang ke atas Tun Dr Mahathir.
Beliau mempersoalkan adakah ia untuk mencari kesalahan Dr Mahathir sahaja sedangkan seluruh Kabinet juga harus diambil kira kerana ia tanggungjawab kolektif.
‘Kalau nak hukum Perdana Menteri, hukum juga Timbalan Perdana Menteri yang sama-sama bersetuju. Kalau itu juga termasuk presiden saya (Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu) hukum dia sama. Tapi Pagoh berani bangkit dan pertahankan itu telah dipersetujui Kabinet.
“Ini yang ada dulu tak bercakap, sekarang pandai bercakap, dulu tak bercakap dalam Kabinet, hari cakap tak tahu. Kalau tak tahu, berhenti,’’ katanya.
Manakala Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) pula berkata, beliau tidak mahu Parlimen diperkudakan oleh orang tertentu sedangkan semua perkara itu dibincang dan tiada Menteri Kabinet yang menyuarakan tidak bersetuju ketika itu.
“Benda ini akan berlaku pada semua pemimpin kita pada masa depan, menjadikan pemimpin kita tidak berani buat keputusan, dan orang akan takut buat keputusan demi negara.
“Saya mohon perbaiki apa yang tidak patut dilakukan. Ini pendirian saya, saya tidak rasa ini perkara yang perlu kita lakukan. Ini adalah satu perkara yang melibatkan satu badan bukan eksekutif dan tak boleh bawa perkara peribadi,’’ katanya.
Sementara Azalina ketika menggulung hujah berkata, laporan RCI itu dibawa ke Dewan Rakyat kerana ia sangat penting supaya pandangan dan cadangan dapat diberikan bagi kerajaan membaiki sebarang kelemahan.
“Isu sama akan dituduh atau tidak, ia adalah isu Peguam Negara, bukan isu kerajaan. Dalam perlembagaan, kita semua tahu Peguam Negara adalah individu bebas. Kalau ada laporan polis, polis akan buat siasatan dan Peguam Negara akan buat keputusan.
“Kalau setakat hari ini, tiada laporan polis (dan) kita dalam Dewan tak boleh arah polis lakukan siasatan,’’ jelasnya.
Sementara itu, usul mengenai RCI itu selesai dibahaskan tanpa mempunyai keputusan. – 12 Disember, 2024