Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Mufti Wilayah diarah beri penjelasan segera hukum syarak libatkan bayi ‘dibeku’ selama 2 minggu | Scoop

Mufti Wilayah diarah beri penjelasan segera hukum syarak libatkan bayi ‘dibeku’ selama 2 minggu

Dengan kuasa yang ada pada mufti-mufti, mereka perlu keluarkan pandangan hukum dengan segera supaya masyarakat tidak bingung

2:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR —  Mufti Wilayah, Prof Madya Datuk Luqman Abdullah sudah diminta untuk memberi penjelasan segera mengenai hukum syarak berkait insiden sebuah hospital di Klang, Selangor yang menahan serta membekukan bayi selama dua minggu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi memberi pemahaman jelas kepada masyarakat yang tertanya-tanya apabila kes melibatkan soal hukum.

“Tadi dimaklumkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian, yang mana saya dah minta Mufti Wilayah untuk keluarkan pandangan dengan segera.

“Kita juga minta kerjasama semua mufti negeri bila mana melibatkan soal hukum, masyarakat akan tertanya-tanya.

“Jadi dengan kuasa yang ada pada mereka, untuk keluarkan pandangan hukum dengan segera supaya masyarakat tidak bingung atau terpinga-pinga, bagi faham dan kenapa berlaku isu tersebut, jadi kena bertindak segera,” katanya kepada media selepas membentang Bajet 2025 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.

Terdahulu unit pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mendedahkan mengenai mayat bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna, didakwa ‘ditahan’ di dalam peti sejuk beku sehingga dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Klang.

Kejadian ini berlaku selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar kos kelahiran bayi tersebut dan tidak dibenarkan menuntut bayi itu untuk dikebumikan.

Bagaimanapun hospital berkenaan, Hospital Bersalin Razif (HBR) menafikan dakwaan pihaknya ‘sengaja’ menahan jenazah bayi lelaki itu seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan dikongsikan di media sosial, pihak pengurusan hospital berkata selepas bayi tersebut disahkan meninggal dunia, permit untuk mengebumikan jenazah sudah ditandatangani dan mereka telah memaklumkan kepada bapa bayi tersebut untuk menguruskan upacara pengebumian pada keesokan hari iaitu 25 November.

Namun, pihak hospital mengatakan mereka mengalami kesukaran untuk berbincang dengan bapa bayi tersebut berhubung hal pengebumian anaknya dari sehari ke sehari.

Sementara itu Mohd Na’im berkata, Skuad Jejak Asnaf MAIWP juga sudah turun ke lapangan bagi memberi bantuan kewangan kepada pasangan berkenaan.

Difahamkan, beliau juga akan melawat dan bertemu pasangan suami-isteri terbabit di kediaman mereka di Setia Alam, Selangor hari ini. – 12 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Related