Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pengasas FashionValet, Vivy dan suami bakal berdepan satu lagi tuduhan di mahkamah | Scoop

Pengasas FashionValet, Vivy dan suami bakal berdepan satu lagi tuduhan di mahkamah

Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaraya akan failkan satu pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan

2:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof, 37, dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, 36, dilaporkan bakal berhadapan tuduhan alternatif bersama membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata kes tersebut difailkan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

“Pihak pendakwaraya akan failkan satu pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

“Hari ini hanya satu pertuduhan dahulu (dibacakan),” katanya dalam prosiding pendakwaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Pasangan berkenaan sebelum itu telah didakwa atas tuduhan pecah amanah melakukan pemindahan dana sebanyak RM8 juta dari akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang berkenaan pada Ogos 2018.

Mereka bagaimanapun tidak mengaku salah.

Sebutan semula kes berkenaan dijadualkan pada 22 Januari tahun depan.

Kedua-dua tertuduh masing-masing kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM100,000.

Pasangan itu diwakili peguambela, Ashok Athimulan.

Pada 28 November lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet.

Menurut Azam, kertas siasatan ini telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM untuk kajian dan pertimbangan.

Pada 5 November lalu, Scoop melaporkan berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pada Disember 2018, FashionValet membeli 30 Maple Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang kelihatan dimiliki sepenuhnya oleh pempengaruh media sosial Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, pada harga RM95 juta.

Sementara dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan sebelum ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.

Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.

“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu. – 5 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Related