KUALA LUMPUR – Kisah peniaga teh jalanan yang dihina oleh seorang pendakwah di Indonesia, yang tular baru-baru ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika menyampaikan amanat dalam perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, Anwar turut menyentuh mengenai kisah berkenaan selepas menerima klip video yang tular itu daripada rakannya di Indonesia.
Menurut Anwar, ia memberikan keinsafan bagaimana keangkuhan dan kesombongan boleh berlaku dalam kalangan mereka yang memahami agama dan sering memperkatakan mengenai Islam, akidah dan solat.
“Di indonesia beberapa hari lepas riuh rendah di media sosial, seorang kiyai dalam dakwah menghina seorang penjual teh. Teman Indonesia kirim (video).
“Satu penghinaan, orang jual teh, yang paling miskin.
“Pendakwah dengan ketawa (menghina) sehingga Presiden Prabowo (Subianto) bagi kenyataan agak keras dan akhirnya pendakwah itu berkunjung ke daerah penjaja itu dan mohon maaf.
“Ini contoh, keangkuhan, sombong itu kadang-kadang bukan sahaja di kalangan orang tak tahu agama. Orang yang faham agama, yang bicara tentang islam, akidah, solat (dan), sunat kadang-kadang boleh menghina.
“Saya berasa aneh, luar biasa tapi bagi saya pengajaran yang menginsafkan,’’ katanya.
Beberapa hari lepas kecoh di media sosial termasuk di negara ini apabila seorang peniaga teh dihina oleh seorang pendakwah dari Indonesia yang dikenali sebagai Miftah Maulana Habiburrahman yang juga Utusan Khas Presiden dalam Bidang Keharmonian Beragama.
Miftah Maulana atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah menerusi klip itu keolah menghina peniaga terbabit dan bercakap kasar kepadanya ketika berada di sebuah pentas program ceramahnya.
Berikutan itu Miftah, menerima kecaman menerusi akaun X dan Instragramnya.
Keadaan itu mendapat perhatian daripada Presiden Prabowo Subianto yang mengarahkan Setiausaha Kabinet menyampaikan amaran kepada pendakwah terbabit dan memintanya memohon maaf dengan segera kepada peniaga teh dikenali sebagai Sunhaji yang nyata terguris dengan penghinaan berkenaan.
Berikutan itu, Miftah Maulana terpaksa memohon maaf dan menjelaskan beliau hanya mahu ‘bergurau’ ketika mengungkapkan perkataan itu kerana sudah terbiasa bersikap sedemikian.
Peniaga itu menjadi tular dengan banyak pihak memberikan sumbangan kepadanya malah ada yang menawarkannya untuk mengerjakan umrah. – 5 Disember, 2024