KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis ini berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta.
Ia disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Memetik Buletin TV3, Azam berkata SPRM telah menjalankan tangkapan terhadap pasangan berkenaan dan diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah pada Khamis.
“Siang tadi saya rasa dalam tengah hari tadi lebih kurang di pejabat SPRM dan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,’’ katanya.
Pada 28 November lalu, Azam berkata, SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet.
Menurut Azam, kertas siasatan ini telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
Pada 5 November lalu, Scoop melaporkan berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pada Disember 2018, FashionValet membeli 30 Maple Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang kelihatan dimiliki sepenuhnya oleh pempengaruh media sosial Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, pada harga RM95 juta.
Sementara dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan sebelum ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.
Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.
“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu.
Berikutan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan ia akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta dalam platform e-dagang FashionValet pada Disember ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudik berkata, prosiding yang dijangka bermula pada minggu kedua Disember itu akan memanggil Khazanah dan PNB untuk menjelaskan mengenai pelaburan berkenaan. – 3 Disember, 2024