KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meneliti butiran berhubung pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang dikemukakan oleh sebuah konsortium yang diterajui oleh dua pemegang sedia ada dan berpuas hati dengan segala perincian yang dikemukakan.
Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat menegaskan kerajaan akan mengekalkan Saham Khas dalam MAHB.
Pada masa sama, katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara setelah pengambilalihan ini dimuktamadkan.
“Secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ini merupakan satu urusan transaksi komersial yang dikemukakan oleh sebuah Konsortium yang diterajui oleh dua pemegang saham sedia ada MAHB ketika ini iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Sekiranya tawaran tersebut diterima dan dipersetujui oleh para pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh Konsortium berkenaan adalah berdasarkan pecahan iaitu Khazanah – 40%; KWSP – 30% dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) – 30%.
“Kerajaan telah meneliti butiran berhubung pengambilalihan MAHB yang dibentangkan oleh Konsortium berkenaan dan berpuas hati dengan segala perincian yang dikemukakan,’’ katanya.
Ia bagi menjawab soalan bertulis daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia memberikan dan mendedahkan kepada Parlimen perjanjian pemegang saham MAHB antara tiga pihak yang berhasrat menswastakan MAHB.
Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata, memandangkan ia merupakan perjanjian melibatkan empat pihak swasta, ia tertakluk kepada prinsip kerahsiaan komersial seperti kelaziman dalam sebarang transaksi yang bersifat sedemikian.
Jelasnya, sekiranya atau setelah tawaran ini dipersetujui oleh pemegang saham, MAHB masih tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Pengoperasian sedia ada yang telah ditandatangani oleh mereka bersama kerajaan.
“Ini akan memastikan tiada sebarang perubahan kepada tanggungjawab dan bidang tugas MAHB sedia ada.
“Di samping itu, dari aspek kepentingan kepada negara, Khazanah dan KWSP melihat wujudnya satu keperluan yang mendesak untuk operasi MAHB ditambahbaik dan pelaburan dibuat secara lebih pantas.
“Ia mengambil mengambil kira unjuran peningkatan trafik penumpang dan keadaan infrastruktur semasa yang tidak dapat menampung jumlah masa kini serta keperluan masa hadapan Malaysia,’’ katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, rangkaian lapangan terbang yang kukuh dan diuruskan dengan baik akan meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perdagangan, perniagaan dan pelancongan di Malaysia. – 3 Disember, 2024