Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Larangan kanak-kanak guna media sosial: Kerajaan mungkin campur tangan jika pengendali ‘culas’ kawal had umur | Scoop

Larangan kanak-kanak guna media sosial: Kerajaan mungkin campur tangan jika pengendali ‘culas’ kawal had umur

Senat Australia pada Khamis meluluskan undang-undang melarang kanak-kanak dan remaja menggunakan media sosial, menjadikannya negara pertama di dunia mengambil langkah itu

12:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum mempunyai perancangan untuk melarang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial seperti yang dilaksanakan Australia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata larangan kanak-kanak bawah umur daripada menggunakan media sosial adalah bersandarkan pada panduan komuniti (community guidelines) sesebuah platform tersebut.

“Kita semua tahu pada waktu ini semua platform media sosial melarang kanak-kanak bawah usia 13 tahun daripada memiliki akaun di platform mereka.

“WhatsApp sebagai contoh tetapkan had umur 16 tahun jadi siapa bawah umur tak boleh guna platform WhatsApp, mengikut community guidelines yang disediakan.

“Kita nak tahu apakah langkah yang akan dilakukan oleh platform ini untuk menjamin kanak-kanak bawah umur itu (yang mereka sendiri tetapkan), tidak akan menggunakan platform-platform ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutupan Karnival Komunikasi di IWK Eco Park, Pantai Dalam di sini hari ini.

Menurut Fahmi, kerajaan berkemungkinan campur tangan sekiranya penggendali platform media sosial tidak berupaya mengawal perkara itu daripada berlaku.

“Kita tak bincang perkara ini lagi… kita sedang mengikuti dan meneliti langkah dan usaha (dari) banyak negara lain, bukan sekadar Australia (sahaja).

“Sekiranya kita melihat mereka (pengendali) berupaya atau tidak berupaya, kemudian (baharu) saya rasa kita akan teliti (campur tangan mengenai had umur kanak-kanak yang boleh menggunakan media sosial),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Senat Australia pada Khamis meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan media sosial, menjadikannya negara pertama di dunia mengambil langkah sedemikian.

Undang-undang itu yang diluluskan pada hari terakhir sesi Senat yang sedang berlangsung, berkuat kuasa pada penghujung tahun depan, selepas itu individu berusia 16 tahun ke bawah akan dihalang daripada menggunakan platform seperti TikTok, Instagram, Snapchat, Facebook, Reddit dan X.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese mempertahankan langkah itu dengan menyatakan ia adalah perlu untuk melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja negara itu.

Undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat Parlimen pada Rabu, turut mencadangkan denda berat sehingga AU$50 juta (RM145 juta) bagi platform yang gagal mematuhi peraturan itu. – 30 November, 2024 

Topics

 

Hangat

Related