KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen kerajaan membangkitkan persoalan adakah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan rundingan berhubung kenaikan premium insurans antara 40% hingga 70% pada tahun hadapan.
Ini kerana, kata Wong Shu Qi (PH-Kluang), apabila Ahli Parlimen mengadakan rundingan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung caj premium itu, jawapan yang diterima ialah kawalan perkhidmatan itu adalah di bawah kawal selia KKM.
“Bila berunding dengan KKM pula, KKM kata ini bawah Bank Negara.
“Adakah KKM berbincang dengan Bank Negara untuk selesaikan perkara ini? Boleh tak kedua-dua pihak duduk bersama untuk selesaikan isu ini. Bukan sahaja rakyat, ramai Ahli Parlimen yang terjejas disebabkan terpaksa bayar caj premium yang tinggi,’’ soalnya.
Shu Qi berkata demikian ketika mencelah jawapan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Shu Qi turut memetik kenyataan media oleh KPJ Healthcare Bhd mencatat sejarah dengan merekodkan perolehan suku tahunan tertinggi iaitu sebanyak RM1.032 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Septmber 2024.
Peningkatan itu didorong oleh peningkatan jumlah pesakit.
“Ini adalah jelas bahawa hospital swasta kita mendapat keuntungan,’’ katanya.
Baru-baru ini media melaporkan premium insurans dijangka mengalami kenaikan antara 40 hingga 70% pada tahun hadapan, berdasarkan notis yang dihantar kepada pengguna.
Kenaikan itu dikatakan kerana kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.
Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut mengulas isu sama dan meminta BNM tidak melepaskan tangan dengan alasan ini adalah ‘business decision’ oleh syarikat.
Menjawab pertanyaan itu, Lukanisman berkata, KKM sedang mengkaji rasional untuk memperkenalkan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) kebangsaan dalam perawatan hospital seluruh negara sebagai usaha menangani kenaikan kos perubatan.
Model berkenaan telah diperkenalkan di fasiliti KKM dan mungkin ini boleh dijadikan sebagai panduan dan tidak dicaj berlebihan oleh hospital-hospital swasta.
DRG iaitu klasifikasi pesakit berdasarkan diagnosis, jenis perawatan dan sumber yang digunakan dalam satu episod rawatan adalah penting untuk penyediaan pembiayaan sektor kesihatan dengan mengira kos rawatan, pengurusan serta tarif kesihatan.
‘Kita juga akan memantau dan mengggunakan kuasa yang ada untuk melihat dakwaan caj premium yang dinaikkan.
“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) boleh pantau beras, gula dan telur, jadi di bawah kuasa Bank Negara, Kementerian Kewangan dan KKM, kita boleh memantau untuk melihat kos yang mendesak,’’ katanya.
Beliau memberitahu, KKM tidak mempunyai kapasiti mencukupi untuk menerima pesakit ditambah dengan bebanan kerja yang ada, justeru perkara itu harus dikongsi oleh hospital swasta dengan harga berpatutan. – 28 November, 2024