KUALA LUMPUR – 12 organisasi dan individu mewakili seniman, pengarang dan pertubuhan seni meluahkan kebimbangan terhadap Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, yang didakwa bakal membawa pengaruh besar terhadap kebudayaan, kesenian dan kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Organisasi terbabit gusar RUU Mufti itu tidak hanya mencakupi perincian kriteria Mufti dan terpakai hanya kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan, malah ia mengandungi klausa yang mengubah jawatan Mufti sebagai badan penggubal undang-undang tanpa pengawasan Parlimen.
Jelasnya, kesan yang bakal dilalui ialah semua fatwa akan ‘terikat’ dan ‘di mana-mana mahkamah’.
‘Ini bermakna fatwa berkenaan seni dan budaya, seperti tarian poco-poco dan yoga bakal menjadi kesalahan jenayah di ‘mana-mana mahkamah’ dan selain itu fatwa juga boleh dikenakan kepada orang bukan Islam, contohnya dalam etika berpakaian
“Menyinggung sentimen agama’ kini telah menjadi kesalahan jenayah yang dikenakan terhadap orang bukan Islam di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A – termasuk dua karyawan Malaysia (seorang pengarah filem beragama Islam dan seorang penerbit filem bukan Islam), namun fatwa baharu ini boleh digunakan tanpa mengambil kira undang-undang Kanun Keseksaan yang sedia ada di Parlimen,’’ katanya menerusi kenyataan bersama.
12 organisasi itu mewakili Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia), Malaysian Writers Society (MWS), ReformARTsi (mewakili 120 kumpulan seni dan artis), Freedom Film Network, Centre for Independent Journalism (CIJ), Five Arts Centre, Panas Panas Theatre, The Actors Studio, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Persatuan Filem Pendek Asia Tenggara (SEASHORTS Film Society), Pusat KOMAS, Persatuan Kesenian Utama / Arts First Association (AFA) serta beberapa individu lain.
RUU Mufti telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen pada bulan Julai lalu.
Mengulas lanjut, 12 organisasi itu berkata, RUU yang bersifat ‘fatamorgana’ itu membuka kuasa baharu melalui Jawatankuasa Muzakarah seterusnya melemahkan Parlimen, selain memperketat cengkaman kawalan ke atas budaya, kesenian dan kehidupan seharian rakyat.
“Kebudayaan, kesenian dan kehidupan seharian rakyat ini telah banyak dikawal undang-undang era kolonial dan undang-undang pasca Merdeka. Sebagai contoh, Akta Hasutan (1948) masih wujud walau hampir 70 tahun negara kita Merdeka,’’ katanya.
Dalam pada itu, organisasi tersebut berkata, penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Lembaga Penapisan Filem sebelum ini telah mencerminkan pencerobohan dan kawalan oleh badan agama.
Kini, katanya, RUU Mufti akan menambahkan lagi lapisan penapisan baharu serta mencetuskan kekeliruan melalui kuasa yang diperluaskan untuk mengeluarkan fatwa yang ‘terikat’ di mana-mana mahkamah.
Jika RUU ini diluluskan, organisasi terbabit berkata ia akan membolehkan semua faktwa yang merangkumi aspek kehidupan termasuk ‘keselamatan negara’ akan menjadi undang-undang tanpa kemampuan Parlimen untuk membahaskannya.
“Kami percaya Ahli Parlimen tidak seharusnya mengundi Rang Undang-undang sedemikian, tetapi membahas akan hal ini dengan sesungguh-sungguhnya agar rakyat benar-benar memahami perubahan yang diusulkan,’’ katanya. – 26 November, 2024