KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengakui beliau tidak mengetahui mengenai pendedahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat usaha memujuk Barisan Nasional (BN) keluar dan kerajaan dan membentuk kerajaan baharu.
Menurut Fadhli, hanya Timbalan Perdana Menteri yang lebih mengetahui mengenai kebenaran tersebut dan mempersoalkan kenapa kenapa individu yang membuat rundingan itu tidak didedahkan.
Kebiasaannya, kata beliau apabila tidak didedahkan nama pihak tersebut ia bererti rundingan masih berjalan.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan pendedahan tersebut tidak pelik kerana ketika media sedang memperkatakan mengenai calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional (PN), tidak salah jika Zahid juga menjadi salah seorang calon.
“Saya sendiri tidak tahu menahu tentang tawaran dan rundingan ini. Boleh jadi wujud atau tidak, wallahualam. Datuk Seri Zahidlah orang yang lebih mengetahui.
“Kenapa beliau tidak dedahkan sahaja nama individu yang berunding itu pun tidak diketahui, biasanya jika ada maklumat yang disimpan ertinya boleh jadi rundingan masih berjalan. Atau boleh jadi cerita ini tidak benar, tapi mustahil Timbalan Perdana Menteri kita nak mereka-reka cerita,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Zahid yang juga pengerusi BN mendedahkan wujudnya usaha memujuk gabungan itu meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.
Zahid yang tidak mendedahkan pihak tersebut mendakwa BN ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut.
Dalam pada itu, Fadhli berkata, jika pendedahan itu benar ia tidak salah kerana Zahid sendiri telah mengamalkan kaedah berkenaan sejak 2008 menerusi projek 16 September.
“Itulah kali pertama negara didedahkan dengan kemungkinan berlaku peralihan kerajaan dengan peralihan sokongan Ahli Parlimen. Jika ‘cikgu’ sendiri sudah mengajar kaedah tersebut, adalah tidak pelik selepas belasan tahun, anak-anak murid pun sudah ramai yang pandai melakukannya.
“Jadi, ia tidak mustahil bahkan pernah berlaku pada awal tahun 2021 ketika Tan Sri Muhyidin Yasin terpaksa meletakkan jawatan kerana beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional mengisytiharkan menarik sokongan.
“Adapun perletakan jawatan Tun Dr Mahathir pada awal tahun 2020 tidak boleh diambil kira kerana beliau letak jawatan secara sukarela dengan tiada hambatan undang-undang dan perlembagaan,’’ katanya.
Fadhli berkata tiada lagi yang menghalang Zahid untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliau sudah bebas daripada kes di mahkamah.
“Datuk Seri Zahid sekarang sudah suci, umpama air mutlak yang suci lagi menyucikan. Tiada lagi yang menghalang. Kes-kes mahkamah sudah digugurkan oleh Peguam Negara.
“Cumanya dengan status DNAA (melepas dan membebaskan) ia boleh dibuka semula jijka ada arahan dan keputusan baru. Jika Datuk Seri Zahid dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak mustahil ia boleh bertukar kepada DNA – dibebaskan sepenuhnya tanpa ada bantahan pun daripada Pakatan Harapan kerana mereka telah lakukannya dari awal,’’ katanya. – 25 November, 2024