KUALA LUMPUR – Keputusan syarikat konglemerat Bin Zayed International LLC menarik diri daripada projek RM40 bilion Langkasuka di Langkawi memberikan gambaran kerajaan negeri Kedah tidak mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk menilai latar belakang rakan pelaburan.
Justeru, Ketua Penerangan UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Umno negeri itu meminta kerajaan negeri membuat ‘forensik’ khas bagi mengkaji punca kegagalan projek yang pernah dibangga-banggakan sebelum ini.
Ini kerana, katanya rakyat berhak mendapat maklumat yang betul kerana mereka juga harus diberi peluang membuat penilaian terhadap keupayaan kerajaan yang mereka pilih dalam pilihan raya negeri (PRM) lalu.
“Umno Kedah memandang serius tindakan Bin Zayed International menarik diri daripada usahasama pembangunan mega “Langkasuka-Langkawi”.
“Usahasama yang diumumkan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) ini dilihat sangat sensasi dan kegagalannya harus diperjelaskan kepada rakyat secara telus dan tuntas.
“Umno Kedah juga bimbang kegagalan usahasama ini akan turut memberi kesan terhadap pengumuman-pengumuman lain yang turut dibuat oleh YAB Menteri Besar sebelum ini,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Jumaat lalu, konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.
Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata, mereka memutuskan menarik diri sejak 2022 untuk memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar.
Pada 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BZI untuk membantu membangunkan pembangunan bercampur RM40 bilion dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.
Berikutan itu, Sanusi dalam sidang media membidas pihak-pihak yang mengaitkan keputusan Bin Zayed itu dengan kegagalan kerajaan negeri.
Menurut Sanusi, projek berkenaan tiada kaitan dengan kerajaan negeri kerana ia merupakan projek swasta yang menjalin usahasama dengan syarikat antarabangsa tersebut.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, kerajaan negeri yang sedia ada sekarang gagal dan tidak sama sekali mampu mengadakan usahasama bertaraf antarabangsa dan lima bintang.
“Umno Kedah juga yakin gagasan The Greater Kedah yang dicanang oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar hanyalah bersifat propanganda dan tunggangan politik semata mata tanpa memberi manafaat kekal kepada rakyat,’’ katanya. – 24 November, 2024