Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pemain industri minta pembentangan RUU Pekerja Gig ditangguhkan | Scoop

Pemain industri minta pembentangan RUU Pekerja Gig ditangguhkan

Pemain industri gig menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan yang dijadualkan pada Disember, dengan menekankan keperluan kepada pendekatan yang lebih inklusif

7:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang sepatutnya dibentangkan di Parlimen, perlu ditangguhkan berikutan pihak industri dan pekerja gig tidak dirujuk sepenuhnya, kata pemain industri dalam ekonomi gig Malaysia.

Dalam kenyataan bersama oleh Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, dan Lalamove, platform gig ekonomi berkenaan meluahkan kebimbangan draf pindaan itu tidak dikongsi sepenuhnya dan proses maklum balas adalah terhad.

Justeru, pemain industri berkenaan menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan yang dijadualkan pada Disember, dengan menekankan keperluan kepada pendekatan yang lebih inklusif.

Mereka percaya lebih banyak masa diperlukan untuk konsultasi menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan rangka kerja akhir mencerminkan pelbagai keperluan pekerja gig.

“Sebagai pemegang taruh dalam ekonomi gig di Malaysia, kami mengiktiraf usaha kerajaan mencadangkan RUU Pekerja Gig. Bagaimanapun, kami bimbang kerana pemain industri atau pekerja gig tidak dirujuk sepenuhnya, tiada draf penuh pindaan yang dicadangkan dan proses maklum balas adalah terhad.

“Untuk memastikan rangka kerja yang seimbang dan mendapat maklumat dengan baik, kami dengan hormat meminta penangguhan pembentangan Rang Undang-undang tersebut pada bulan Disember, dan percaya pendekatan kolaboratif serta tempoh yang dilanjutkan itu akan memberikan manfaat kepada inisiatif ini.”

Pemain industri berkenaan turut menggariskan beberapa cadangan bagi membantu mewujudkan ekonomi gig yang lebih mampan.

Salah satu daripada cadangan utama adalah penglibatan yang lebih mendalam dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pekerja gig, pemain industri, ahli akademik dan pakar industri. 

Ini kerana, kata pemain industri terbabit, pendekatan inklusif akan membantu mengelakkan perkara yang tidak diingini, seperti ketidakcekapan dalam pelaksanaan dasar dan peningkatan kos kepada pengguna.

Pemain industri tersebut juga meminta agar draf Rang Undang-Undang itu dikongsi untuk semakan, yang akan membolehkan pihak berkepentingan dalam industri memberikan input sebelum ia dimuktamadkan.

Berdasarkan pengalaman dalam bidang kuasa lain menunjukkan proses konsultasi berperingkat adalah penting untuk membangunkan peraturan yang berkesan dan seimbang, yang memberi manfaat kepada semua bahagian dalam ekonomi gig.

“Satu lagi perkara yang diperdebatkan adalah mengenai definisi pekerja gig semasa. Pemain industri mencadangkan agar definisi ini diperluas kepada pekerja dalam semua sektor yang berkaitan, berbanding hanya menghadkan kepada perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.

“Kami mencadangkan agar definisi pekerja gig diperluas melebihi e-hailing dan p-hailing dengan memasukkan semua sektor yang berkaitan, sama seperti Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso, yang merangkumi 20 sektor. Dengan mendefinisikan pekerja gig sebagai kategori yang berbeza daripada pekerja tradisional, ia membolehkan peraturan itu disesuaikan dengan sifat unik kerja gig.’’

Pemain industri itu juga mencadangkan pendekatan berasaskan pasaran bagi pampasan, yang membolehkan pekerja bergerak bebas merentasi pekerjaan dan industri berdasarkan permintaan dan bayaran.

Keadaan ini, kata mereka akan mengekalkan pendapatan yang adil kepada pekerja dan pada masa sama memastikan perkhidmatan boleh diakses oleh pengguna.

“‘Kami mencadangkan pendekatan berasaskan pasaran untuk pampasan, membolehkan pekerja bergerak bebas merentasi pekerjaan dan industri berdasarkan permintaan dan kesediaan untuk membayar.

“Pendekatan ini membantu mengekalkan keseimbangan, mengelakkan cabaran seperti harga pengguna yang lebih tinggi, kekurangan permintaan, dan pendapatan yang lebih rendah untuk pekerja gig. Ia memastikan pendapatan yang adil sambil mengekalkan perkhidmatan boleh diakses dan lestari.”

Selain itu, platform gig ekonomi juga menyatakan sokongan terhadap penyertaan sukarela dalam skim perlindungan sosial, yang boleh dibantu oleh platform melalui kempen kesedaran dan proses yang dipermudahkan. Ini membolehkan pekerja gig mempunyai autonomi untuk mengurus caruman sendiri dan membantu mengekalkan fleksibiliti mereka.”

Kenyataan itu juga menggesa diadakan dialog terbuka yang berterusan dengan pekerja gig dan wakil mereka.

“Platform juga mengulangi komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi bersama-sama mencipta rangka kerja pengawalseliaan yang melindungi pekerja gig sambil mempromosikan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

“Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk bersama-sama mencipta peraturan yang berkesan dan seimbang,  yang melindungi pekerja gig dan mendorong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia

“Bersama-sama, kita boleh mewujudkan rangka kerja yang melindungi pekerja gig dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi digital, mendorong inovasi dan pertumbuhan inklusif untuk tahun-tahun akan datang,” kata mereka.”

Pada 14 November lalu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) memohon kerajaan memberikan penerangan lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig sebelum ia dibentangkan di Parlimen, Disember ini.

Penghantar menerusi kenyataannya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kerana merangka RUU berkenaan, bertujuan memberikan perlindungan kepada pekerja gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing.

Bagaimanapun, persatuan itu menekankan kepentingan penerangan lanjut diberikan berkaitan mekanisme dan kaedah pelaksanaan setiap kerangka utama yang akan diwujudkan kelak.

Pada 3 November lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata RUU Pekerja Gig ini akan diwujudkan selaras dengan negara-negara lain seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.

Ia bagi memberikan perlindungan kepada mereka yang bekerja di bawah sektor berkenaan seperti pemandu e-hailing dan p-hailing yang selama ini tidak mendapat pembelaan di bawah akta kerja kerana tidak ditakrifkan sebagai pekerja.

Dijangka dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama pada Disember ini, RUU ini memberikan perlindungan kepada pekerja gig sama ada sepenuh atau separa masa.

Ia termasuk kos rawatan dan perubatan pekerja gig, seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber memberitahu Scoop, empat perkara asas diberikan perhatian dalam RUU ini iaitu definisi pekerja gig, pampasan asas, perlindungan keselamatan sosial dan penyelesaian pertikaian menerusi Tribunal Pekerja Gig. – 21 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related