KUALA LUMPUR – Pemimpin muda DAP hari ini sepakat mempertahankan tindakan Setiausaha Agung parti, Anthony Loke yang mengambil pendirian tidak melayan serangan politik daripada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beberapa kenyataan solidariti dikeluarkan pemimpin muda DAP itu yang tidak berpuashati dengan sikap Akmal yang sepatutnya bertindak lebih matang dan rasional dalam berpolitik serta mengemukakan dasar yang membina dalam bidang tugasnya.
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan (DAPSY), Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, adalah jelas Loke perlu memberikan keutamaan kepada tugasnya dalam membangunkan negara berbanding terjerat dengan polemik yang tidak bermanfaat.
“Ia bukan sahaja tidak memanfaatkan hidup rakyat malah mampu menganggu kestabilan politik yang sedang kita dinikmati sekarang.
“Justeru, kepada Akmal, apa niat sebenar saudara mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan?
“Adakah saudara benar-benar ikhlas ingin membela nama agama, bangsa dan negara? atau saudara hanya ingin sibuk menagih perhatian dengan menyerang pemimpin utama negara? Tepuk dada tanya selera.
“Jadi saya khuatir, kalau pemimpin muda seperti Akmal hanya sibuk mengejar nama, jadi tugas untuk membina negara ini perlu diserahkan kepada siapa?, soalnya.
Loke sebelum ini memilih untuk tidak memberi respons kepada `serangan’ Akmal terhadap pemimpin-pemimpin DAP termasuk dirinya, kerana menurut beliau, Ketua Pemuda Umno itu bukan berada pada ‘level’ yang sama dengannya.
Pemimpin DAP itu menerusi satu program audio siar sebuah portal tempatan menjelaskan sebagai seorang menteri dan pemimpin utama kerajaan, beliau mempunyai tugas yang lebih penting seperti melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan meningkatkan ekonomi.
Kenyataan Loke itu bagaimanapun dibidas oleh Akmal dan menegaskan individu berjawatan rendah akan terus lantang bersuara mempertahankan agama, bangsa dan tanah air ini.
“Tidak kira betapa besar jawatan yang kau ada wahai Anthony Loke Siew Fook. Baru ada pangkat, sombong! Kaduk naik junjung!,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha DAPSY, Lim Chun Weng pula berkata, Loke sebagai menteri Kabinet perlu menumpukan kepada isu-isu rakyat dan bukan melayan publisiti politik murahan.
Beliau turut menggesa Akmal untuk menumpukan perhatian kepada pembinaan negara dan hentikan serangan terhadap pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan demi publisiti murahan.
“Akmal perlu bersikap rendah hati dan belajar daripada pemimpin senior, memberi tumpuan kepada isu-isu yang mendatangkan manfaat dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukannya memainkan isu perkauman demi kepentingan sendiri.
“Sekiranya Loke memberi respons kepada setiap kenyataannya Akmal, ia ibarat tiada titik noktah, bertengkar tanpa kesudahan.
“Tambahan pula, Akmal sebagai seorang junior dalam politik perlu lebih rendah diri. Sebagai menteri, Loke mempunyai tanggungjawab yang lebih penting. Fokus beliau adalah isu-isu berkaitan dengan kebajikan rakyat dan bukannya Akmal,” katanya.
Sementara itu Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, Jason Ng Thien Yeong menasihatkan Akmal untuk melihat ke dalam cermin sebelum mengkritik pemimpin lain sebagai sombong.
“Akmal merupakan Exco yang bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar, pertanian dan keterjaminan makanan di Melaka, namun jarang sekali kita mendengar beliau mengemukakan pandangan yang konstruktif berkenaan tugas beliau.
“Oleh itu, jika beliau tidak berminat untuk menjalankan tugas sebagai Exco Melaka dan sebaliknya hanya ingin meraih publisiti politik murah dengan mengkritik pemimpin rakan parti, lebih baik beliau menarik diri dari kerajaan dan menjadi seorang ahli dewan ‘backbencher’,” katanya. – 21 November, 2024