KUALA LUMPUR – Jenama minuman teh premium, Chagee tampil membuat permohonan maaf susulan video tular melibatkan seorang pekerja mereka yang didakwa mengasingkan cawan mengandungi item hadiah program ‘Tear & Win’, sempena ulang tahun ketujuh Chagee Malaysia.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan di media sosial, pengurusan Chagee berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pekerja berkenaan.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf atas sebarang kebimbangan dan kesulitan berhubung video TikTok baru-baru ini berkaitan acara Tear & Win.
“Tingkah laku tersebut tidak mencerminkan standard yang dipegang oleh pihak Chagee dan kami amat menyesal atas segala persepsi negatif yang telah timbul.
“Pihak Chagee sedang menjalankan siasatan secara terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan nilai teras kami,” katanya.
Terdahulu, tular satu video TikTok seorang pekerja wanita di sebuah cawangan Chagee dilihat mengasingkan cawan mengandungi item hadiah Tear & Win sebelum dibawa ke belakang kaunter.
Susulan penularan video itu, Chagee kemudiannya dipercayai telah menghantar satu mesej pesanan langsung (direct message) kepada individu yang memuat naik video berkenaan.
Dalam mesej tersebut, Chagee meminta individu berkenaan memadamkan video dan bertegas akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya permintaan itu tidak diikuti.
Rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan perkara tersebut kerana merasakan tindakan mengasingkan cawan itu dilihat sebagai tidak adil kepada pelanggan sehinggakan ada netizen membuat keputusan untuk memboikot Chagee.
Dalam pada itu, Chagee memberitahu, ia mengambil maklum mengenai ‘feedback’ agar acara Tear & Win itu digantikan dengan kaedah lain yang dilihat lebih sesuai untuk tujuan tersebut bermula bulan hadapan.
“Kami juga berterima kasih atas maklum balas yang diterima mengenai kaedah pengendalian acara Tear & Win.
“Sebahagian daripada proses penambahbaikan yang berterusan, bermula pada bulan Disember, Chagee Malaysia akan menggantikan item fizikal dalam cawan Big Big Cup dengan slip kod QR bagi memastikan proses yang lebih lancar.
“Pelanggan kami hanya akan dapat melihat hasil cabutan bertuah selepas melakukan proses imbasan,” katanya.
Bagaimanapun permohonan maaf ini mendapat pelbagai reaksi dengan ada netizen yang menyatakan mereka tidak berpuas hati kerana dakwaan tindakan undang-undang akan diambil ke atas individu yang membuat pendedahan tersebut.
“Sebagai sebuah syarikat besar, anda patut menangani isu ini dengan profesional.
‘Sepatutnya dari awal cakap maaf. Bukan dah kena kritik atau bakal kena boikot.
“Rangkaian makanan dan minuman lain silalah ambil iktibar. Bila pelanggan tegur, perbaiki sistem anda dan bukan tindakan sebaliknya pula hendak dikenakan terhadap pelanggan. Sangat pelik,’’ demikian antara rungutan netizen di aplikasi X. – 19 November, 2024