Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PAS tempelak Gerakan ‘tak perlu deklarasi, kenapa bukan Melayu nak takut dengan kami’ | Scoop

PAS tempelak Gerakan ‘tak perlu deklarasi, kenapa bukan Melayu nak takut dengan kami’

Gerakan tidak perlu terjebak dengan permainan politik pihak lain yang melabel PAS sebagai ganas lagi jahat sehingga mendesak PN mewujudkan deklarasi untuk bukan Melayu

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan Gerakan bahawa PAS menjadi penyebab orang bukan Melayu dan Islam takut untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak berasas.

Bercakap kepada Scoop, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara itu tidak benar kerana parti itu sentiasa memberi ruang kepada bukan Melayu dan Islam untuk bersama.

Beliau berkata, Gerakan tidak perlu terjebak dengan permainan politik pihak lain yang melabel PAS sebagai ganas lagi jahat sehingga mendesak supaya Perikatan Nasional (PN) mewujudkan deklarasi untuk bukan Melayu.

“Selama ini kita buka ruang kepada yang bukan Melayu dan Islam untuk bersama dengan kita. Pintu tak pernah ditutup, sentiasa terbuka, buktinya kita ada sayap Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

“Jadi kenapa mereka (bukan Melayu) nak takut dengan PAS, sebab PAS tak menganiaya siapa-siapa, tengok sahajalah di Terengganu malah di Kelantan, kita perintah lama, tapi kita tidak kacau, rumah ibadat orang bukan Islam tak pernah diusik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Gerakan menggesa PN mewujudkan deklarasi untuk bukan Melayu dalam usaha mengurangkan tekanan komuniti itu untuk memilih komponen terbabit pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Dominic Lau ketika berucap pada persidangan parti itu berkata, ketika ini ada bukan Melayu dan Islam bimbang dan takut terhadap PAS yang menjadi blok parti Melayu terbesar dalam PN serta mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Parlimen.

Malah katanya, kumpulan itu juga ‘fobia’ mengenai dasar dan matlamat PAS menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, biarpun kadangkala berbeza pandangan, PAS sentiasa terbuka menerima Gerakan untuk terus bersama dalam PN.

“Kalau (Gerakan) dah rasa bimbang, dan mahu ubah dasar mereka itu terpulanglah, tapi kita tetap terima mereka, selama mana mereka sanggup terima kita, untuk bekerjasama ke arah kebaikan rakyat dan perpaduan negara.

“Dulu PAS pernah bersama DAP, tapi bila mereka keluar kenyataan dan dasar baru, mereka tidak suka Presiden PAS , maka sebab itu kita putuskan hubungan dengan DAP,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keperluan untuk membuat deklarasi berkenaan, sebaliknya Gerakan seharusnya lebih fokus memikirkan cara bersaing dengan DAP,

“Jangan salahkan PAS kerana tidak dapat menarik sokongan masyarakat Cina, Gerakan perlu tumpu untuk menyaingi DAP yang dilihat masa ini masih gagal.

“Mereka tak perlu bimbang dengan rakan muafakat politik dan terpengaruh dengan ‘cyber trooper’ yang hanya memburukkan PAS,” katanya. – 18 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related