Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
SPRM gempur kegiatan bawa keluar bauksit haram di Kuantan, pegawai agensi kerajaan negeri ditahan | Scoop

SPRM gempur kegiatan bawa keluar bauksit haram di Kuantan, pegawai agensi kerajaan negeri ditahan

Tiga individu melibatkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit ditahan menerusi serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam

4:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, yang disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak 2022.

Berikutan itu, tiga individu melibatkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit ditahan menerusi serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek serta membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau memberitahu, berdasarkan risikan, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah di mana kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang telah digali sebelum 2022.

“Siasatan mendapati mereka turut melakukan kerja memunggah keluar hasil galian yang baru digali dan bagi melindungi kegiatan ini, beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit telah membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.

“Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit dan SPRM kini masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, susulan serbuan tersebut, SPRM turut membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.

“Di lokasi ini, sebanyak lima jentera iaitu empat unit excavator dan sebuah shovel loader selain tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan sitaan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

“Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng,” katanya.

Sementara itu, Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an direman selama enam hari sehingga 19 November 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – 15 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related