KUALA LUMPUR – Kajian kebolehlaksanaan cadangan pelaksanaan Jajaran Rel Kita Selangor dijangka selesai Januari 2025, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Menurutnya, menerusi kajian yang sedang dilaksanakan ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan jajaran yang terlibat iaitu jajaran utama dari Sabak Bernam dan merentasi Sepang hingga ke Negeri Sembilan sepanjang 211km.
‘Ia akan turut disokong oleh beberapa spurline iaitu ke Westport, Klang, Putra Height dan UNISEL Bestari Jaya.
“Pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor dijangka memberi impak positif yang ketara dari aspek fizikal dan aspek sosio ekonomi di Negeri Selangor,’’ katanya ketika membentangkan Bajet 2025 Selangor hari ini.
Menurut Amirudin, projek ini dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di sepanjang koridor jajaran serta memberi manfaat kepada Selangor dalam jangka masa panjang dan pendek.
Ia juga, katanya akan membuka banyak peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk setempat.
“Penglibatan pembangunan projek akan diberi keutamaan kepada SME dan pekerja tempatan.
“Bagi menyokong aktiviti pembinaan, sektor-sektor lain seperti perhotelan, perdagangan dan logistik bakal meningkatkan operasi dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,’’ katanya. – 15 November, 2024