KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pagi ini pada usia 86 tahun.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh keluarganya menerusi kenyataan ringkas.
“Dengan perasaan sedih dan penuh dukacita, kami ingin memaklumkan bahawa Tun Daim Zainuddin telah pulang ke rahmatullah pada pagi ini, jam 8.21 pagi, di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Butiran solat jenazah dan lain-lain akan dimaklumkan,” kata keluarga Allahyarham.
Sementara peguamnya, Gurdial Singh Nijar ketika dihubungi turut mengesahkannya.
Allahyarham Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin telah menerima rawatan di hospital sejak dua minggu lepas, demikian menurut laporan media yang memetik peguamnya.
Sebelum ini Allahyarham dilaporkan mengalami strok dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Assunta.
Beliau menjadi Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001.
Daim dilahirkan pada 29 April 1938 di Alor Star, Kedah. Beliau berasal dari latar belakang yang sederhana, melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Lincoln’s Inn, London.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai peguam.
Beliau berada dalam perkhidmatan awam selama beberapa tahun pada 1960-an iaitu sebagai Majistret dan kemudian Timbalan Pendakwa Raya, sebelum membuka firma guaman dan kemudian terjun ke dunia perniagaan.
Allahyarham kemudiannya menceburi bidang politik melalui hubungannya yang rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 dan memilih beliau untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Muda pada pilihan raya 1982.
Daim pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal dari 1982-2004 di kerusi Parlimen Kuala Muda dan Merbok mewakili Umno.
Pada Disember lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah membuka siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan itu berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari lalu.
Pada awal tahun ini, Daim itu didakwa di mahkamah atas pertuduhan tidak mematuhi notis SPRM berhubung pengisytiharan 70 aset hartanya.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), 38 syarikat dan 25 hartanah di beberapa negeri.
Pada 23 Januari lalu, isteri beliau, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, turut didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen mengarahkan Daim hadir pada perbicaraan untuk menentukan sama ada beliau perlu menjalani penilaian mental bagi memastikan beliau layak untuk dibicarakan dan menetapkan 20 November ini untuk mendengar hujah tambahan. – 13 November, 2024