KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam beberapa keterangan individu penting termasuk pegawai kanan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam siasatan kerugian pelaburan dana awam sebanyak RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn. Bhd (FashionValet).
Sumber berkata, turut dipanggil selain FashionValet ialah akauntan, penilai syarikat serta introducer.
Sementara pengasas bersama platform e-dagang itu iaitu Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar telah dua kali dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Sumber turut memberitahu, SPRM turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik suami isteri pengasas platform e-dagang fashion valet bernilai kira-kira RM1.1 juta.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan,’’ katanya di sini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) pada Disember ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding yang dijangka bermula pada minggu kedua Disember itu akan memanggil Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menjelaskan mengenai pelaburan berkenaan.
“PAC akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB terhadap sebuah perniagaan fesyen dalam talian tempatan FashionValet melibatkan kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta dengan memanggil Khazanah dan PNB.
Pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membongkar kediaman pasangan pengasas platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar di Mont Kiara, di sini.
Antara barangan yang disita di kediaman tersebut termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Isu kerugian tersebut mencetuskan kemarahan ramai selepas Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen, baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB menjual pegangan RM47 juta dalam FashionValet hanya untuk RM3.1 juta.
Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.
“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” kata kementerian itu.
Pada 2 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.
Perdana Menteri berkata, arahan tegas itu menjadi sebahagian tindakan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik dalam 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – 7 November, 2024