KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mempertimbang untuk memanggil pasangan pengasas bersama platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk menjelaskan pelaburan sebanyak RM47 juta dalam platform e-dagang itu.
Bercakap kepada Scoop, pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, begitu juga keperluan untuk memanggil wakil Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menjelaskan perkara sama.
Perkara itu, katanya akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa PAC dalam masa terdekat untuk dibincangkan.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut menambah, beliau juga akan memberi penjelasan lebih lanjut berkait perkara berkenaan dalam sidang media di Parlimen esok.
“Ada cadangan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen, penjawat awam, usahawan dan lain-lain pihak supaya PAC memanggil pihak FashionValet, Khazanah dan PNB.
“Saya perlu membawa perkara ini kepada jawatankuasa PAC untuk dibincang dalam masa terdekat dan kita putuskan kemudian keperluan untuk panggil pihak terbabit,” katanya hari ini.
Terdahulu, Vivy dan Fadzarudin hari ini menyambung proses merakam keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Sumber sebelum ini memberitahu Scoop, pihak SPRM akan menyambung soalan mengenai dokumen-dokumen yang diambil dari pejabat FashionValet sebelum ini.
Syarikat berkenaan dilaporkan mengalami kerugian lima tahun berturut-turut sebelum mendapat pelaburan RM47 juta daripada Khazanah dan PNB.
Pada Isnin, SPRM telah mengambil beberapa dokumen berkaitan pelaburan dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) di beberapa lokasi.
Difahamkan, ia dilakukan serentak di Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah, PNB dan ibu pejabat FashionValet di Bangsar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara berkata, pihaknya mengambil beberapa dokumen kewangan susulan serbuan di empat premis.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.
Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.
“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu. – 6 November, 2024