KUALA LUMPUR – Penjelasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu mengenai hukuman tahanan di rumah di Dewan Rakyat pada Khamis ini mampu ‘menjernihkan’ pandangan yang dilihat tertumpu kepada seorang individu sahaja setelah tajuk tahanan di rumah dimasukkan dalam teks Bajet 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menjelaskan secara terperinci rasional program tersebut dan berapa ramai yang patut dipertimbangkan untuk program tersebut pada sesi penggulungan peringkat dasar Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat.
Meskipun tidak merujuk kepada sesiapa, namun selama ini ramai yang beranggapan ia ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
“Pada Khamis saya akan jelaskan secara terperinci apakah rasional program itu, apakah prosesnya, apakah parameternya dan berapa ramai yang patut dipertimbangkan untuk menyertai program berkenaan.
“Semua itu saya percaya akan memberi penjelasan yang mampu menjernihkan beberapa pandangan yang saya lihat hanya tertumpu kepada seorang sahaja setelah tajuk tahanan di rumah dimasukkan dalam teks Bajet 2025.
“Punyalah teruk cara fikir, dia nampak itu sahaja. Bila kita buat (RUU tahanan di rumah) ada lah rasional dia, kalau kita laksanakan akan ada perimeter (banduan) yang kita keluarkan (tahanan di rumah),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Townhall Menteri Dalam Negeri bertajuk ‘Mengurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Melalui Pengambilan Prospek Yang Menjalani Pemulihan Dalam Komuniti’ di Ibu Pejabat Jabatan Penjara, di Kajang, hari ini.
Akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah dilaksanakan sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu itu terkandung dalam ucapan Bajet 2025, yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Oktober lalu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata walaupun beliau ada menyatakan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu akan dipertimbangkan untuk program berkenaan, ia tidak bermakna mereka semua akan diberikan tahanan rumah serentak.
Jelasnya, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi termasuk tidak pernah melanggar disiplin sepanjang menjalani hukuman.
Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara dasarnya telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kabinet bagi melaksanakan hukuman tahanan di rumah dan akan melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan terlibat. – 5 November, 2024