Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
30 Maple, syarikat yang memasarkan Duck, dibeli FashionValet dengan nilai RM95 juta pada 2018 | Scoop

30 Maple, syarikat yang memasarkan Duck, dibeli FashionValet dengan nilai RM95 juta pada 2018

Pembelian 30 Maple dibuat pada 2018, iaitu tahun sama di mana Khazanah dan PNB melabur sebanyak RM47 juta dalam FashionValet

1:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Walaupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyatakan pelaburan mereka dalam FashionValet Sdn Bhd adalah untuk menyokong syarikat pemula niaga namun dokumen syarikat menunjukkan gambaran yang berbeza.

Menurut dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pada Disember 2018, FashionValet membeli 30 Maple Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang kelihatan dimiliki sepenuhnya oleh pempengaruh media sosial Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, pada harga RM95 juta.

Pembelian itu dibuat pada 2018, iaitu tahun sama di mana Khazanah dan PNB membuat pelaburan sebanyak RM47 juta dalam FashionValet, iaitu syarikat yang diasas bersama oleh Vivy dan Fadzaruddin.

Laporan tahunan FashionValet pada 2018 menilai jenama 30 Maple pada harga RM68.8 juta dan nilai tambah pada RM21 juta.

Difahamkan 30 Maple memasarkan produk di bawah jenama Duck.

“Pada 4 Disember 2018, kumpulan (FashionValet) memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti dalam 30 Maple dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM95 juta melalui penerbitan 851,686 saham biasa baharu syarikat,” kata laporan tahunan SSM pada 2018.

Bagaimanapun 30 Maple kelihatan seperti syarikat yang menguntungkan malah pada 2017 dan 2018, ia merekod keuntungan masing-masing sebanyak RM8.5 juta dan RM7.745 juta.

Berdasarkan dokumen syarikat 30 Maple, syarikat itu membayar dividen sebanyak RM4.2 juta pada 2017 dan RM10 juta pada tahun 2018.

Sementara itu, dokumen syarikat yang dilihat oleh Scoop setakat ini tidak menyebut mengenai pandemik Covid-19 yang menjejaskan aliran tunai dalam usaha FashionValet mengembangkan platform syarikat tersebut.

Namun ia menyatakan kos operasi Duck yang semakin meningkat akibat Covid-19.

“Bahagian operasi terus menghadapi cabaran disebabkan persaingan dalam penjualan pakaian dan aksesori fesyen jenama dalamannya – Duck.

“Kos relatif yang perlu ditanggung dalam pembuatan produk dan penghantaran barang untuk jualan dalam talian terus meningkat selepas bermulanya pandemik Covid-19.

“Keadaan ini adalah akibat pemilihan bahan mentah, pembekal dan perkhidmatan penghantaran pihak ketiga, yang menjadikan ia sebagai cabaran dalam usaha mengekalkan kos tetapi pada masa sama kualiti produk tetap dikekalkan,” demikian dinyatakan dalam laporan tahunan 2022.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.

Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.

“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil beberapa dokumen berkaitan pelaburan dalam FashionValet Sdn Bhd FashionValet) di beberapa lokasi semalam.

Difahamkan, ia dilakukan serentak di Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan ibu pejabat FashionValet di Bangsar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata, pihaknya mengambil beberapa dokumen kewangan susulan serbuan di empat premis. – 5 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related