Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Yadim tolak gesaan menteri agama ditukar, jejaskan kredibiliti institusi agama | Scoop

Yadim tolak gesaan menteri agama ditukar, jejaskan kredibiliti institusi agama

Pendekatan gopoh dalam mengutarakan desakan tidak membawa sebarang manfaat dan sepatutnya dielakkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan

1:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Gesaan supaya menteri agama ditukar susulan isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 bukan hanya mengabaikan rasa hormat kepada kepimpinan agama, malah mencemar institusi agama yang sekian lama menjadi rujukan umat Islam.

Justeru Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menegaskan yayasan berkenaan menolak gesaan yang tidak berasas untuk menggantikan Datuk Mohd Na’im Mokhtar Na’im hanya kerana perbezaan pendekatan atau pandangan.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak konstruktif, malah berpotensi menjejaskan kredibiliti institusi agama dalam membimbing masyarakat Islam dengan lebih jelas dan adil.

“Pendekatan gopoh dalam mengutarakan desakan tidak membawa sebarang manfaat dan sepatutnya dielakkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau perpecahan yang tidak diperlukan,’’ katanya menerusi kenyataan di sini.

Baru-baru ini, seorang ahli akademik, Abu Hafiz Saleh Hudin menyarankan supaya Na’im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti agar ia dapat ditangani dengan lebih baik.

Abu Hafiz dari Universiti Islam Antarabangsa berkata kerajaan perlu memberikan pertimbangan kepada cadangan supaya tokoh yang ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata pengalaman Na’im bukan sahaja memberi perspektif yang menyeluruh mengenai undang-undang syariah, malah memperkukuh peranan beliau dalam menegakkan keadilan berlandaskan prinsip Islam.

“Gabungan latar belakang kehakiman dan kepimpinan agama menjadikan beliau pemimpin yang berwibawa dalam mengimbangi dasar kerajaan dan tuntutan agama.

“Kedudukan beliau sebagai anggota Kabinet yang kekal mempertahankan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peranan beliau melaksanakan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu melalui Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) adalah bukti komitmen beliau dalam memperkukuhkan institusi agama,’’ katanya.

Jelas beliau, pindaan RUU amat penting untuk memperkukuhkan institusi mufti di Wilayah Persekutuan.

“Berlaku khilaf dalam memastikan syarat pelantikan mufti dalam keadaan semua tahu bahawa ia adalah kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,’’ katanya.

Yadim, katanya menyeru semua pihak berlapang dada dan mengamalkan prinsip Adab al-Ikhtilaf dalam berbeza pandangan demi memastikan keharmonian dalam kalangan masyarakat Islam terus terjaga. – 1 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related