KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama bersetuju melaksanakan gaji minimum RM1,700 selain menaikkan gaji seluruh kakitangannya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, keadaan itu menunjukkan syarikat utiliti itu bukan hanya mencatatkan keuntungan dan meraih pengurusan efisyen malah menjaga kebajikan kakitangannya.
“Lembaga Pengarah dan Pengurusan TNB juga bersetuju menaikkan gaji dan pendapatan seluruh warga kerja.
“Saya ucap terima kasih pengerusi, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TNB kerana bersetuju untuk menjadi GLC pertama menyahut seruan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum anggota TNB.
“Kemudian meluluskan kenaikan gaji dan pendapatan kepada seluruh warga kerja TNB,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 TNB di Pusat Konvensyen Leo Moggie di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Pada pembentangan Bajet 2025, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Dalam pada itu, Anwar menekankan kejayaan sesebuah organisasi dan syarikat tidak berjaya tanpa usaha dan komiten warga kerja di semua peringkat.
Katanya, usaha berkenaan telah dilakukan TNB yang bukan sahaja mencatat keuntungan tetapi juga menjaga kebajikan kakitangan.
“TNB selepas 75 tahun telah mencatat lipatan sejarah dan kegemilangan kepada negara khususnya dalam industri elektrik di negara ini.
“Yang menarik dalam pencapaian ini, adalah kesediaan pengurusan TNB untuk melakukan anjakan sesuai dengan peredaran zaman.
“(Namun) saya tekankan ada tugas utama bukan bangga dengan keuntungan tetapi prihatin dengan pekerja,” katanya.
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN tahun depan komited dalam menghadapi dua cabaran termasuk menjadi hub tenaga terbesar di rantau ini.
Beliau berkata, cabaran seterusnya ialah memastikan inisiatif strategik Grid Kuasa Asean (APG) dimeterai bagi meningkatkan bekalan tenaga dan peluang pelaburan.
“Kerajaan sedar pelaburan ini terlalu besar dan sedang memikirkan cara-cara supaya TNB bersama dengan korporat yang lain menjayakan ASEAN grid ini,” katanya.
Selain itu beliau turut menggesa TNB untuk segera melakukan peralihan kebergantungan arang batu kepada sumber tenaga lain bagi mengurangkan impak perubahan iklim.
“Perkara kini menjadi cabaran utama syarikat utiliti nasional itu untuk merangka peralihan dan persiapan dalam mencapai usaha tersebut,” katanya – 29 Oktober, 2024