Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ustaz Engku Fadzil mohon sumbangan RM60,000 selepas kalah kes saman fitnah bekas menantu | Scoop

Ustaz Engku Fadzil mohon sumbangan RM60,000 selepas kalah kes saman fitnah bekas menantu

Engku Fadzil berkata kos guaman peringkat rayuan itu berjumlah RM65,000 dengan RM5,000 dibiayainya dan setakat Jumaat lalu, baki RM60,000 perlu dibayar

4:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR  Seorang tokoh agamawan, Ustaz Engku Fadzil meminta sumbangan ramai untuk membiayai kos guaman untuk peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan selepas kalah kes saman fitnah ke atas bekas menantunya yang juga bekas ratu cantik, Shakila Saiful.

Menerusi Facebook, Engku berkata, kos guaman peringkat rayuan itu berjumlah RM65,000 dengan RM5,000 dibiayai olehnya dan setakat Jumaat lalu, baki RM60,000 perlu dibayar untuk kos guaman.

Sumbangan itu, katanya bagi meringankan beban kewangan yang ditanggungnya dalam usaha membersihkan nama daripada dakwaan bekas menantunya.

“Ustaz Engku tidak mendapat biayaan khusus daripada sesiapa, oleh itu Ustaz Engku dengan ini membuka ruang kepada sesiapa yang sudi dan mampu untuk menyumbang.

“Untuk memudahkan urusan dan rekod, Ustaz Engku mencadangkan sesiapa yang mampu dan sudi untuk menyumbangkan sejumlah RM500 ke atas untuk kos guaman ini boleh berbuat demikian dengan memasukkan jumlah berkenaan langsung ke akaun peguam,’’ katanya menerusi Facebook Engku Ahmad Fadzil – The Original Page.

Engku sebelum ini memfailkan saman fitnah ke atas bekas menantunya, Shakila atau nama sebenarnya, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam, 28, selepas wanita itu mendakwa beliau menyuruhnya menggugurkan kandungan sebelum membenarkannya berkahwin dengan anak lelaki sulungnya.

Tuntutan saman itu difailkan selepas Shakila enggan membuat permohonan maaf susulan dakwaan yang dibuat menerusi media sosial.

Selepas saman fitnah itu difailkan, Shakila menerusi peguamnya telah membuat tuntutan balas dan menuntut tuntutan ganti rugi terhadap bekas suaminya dan Engku atas dakwaan berlaku tort of deceit iaitu dakwaan Engku menipunya dengan menyalahguna fatwa-fatwa negeri Perlis dan Pahang berkaitan pengguguran dengan memberikan gambaran salah bahawa perbuatan itu dibenarkan.

Mahkamah Tinggi kemudiannya mendapati Engku Fadzil gagal membuktikan kes dan perlu membayar kos sebanyak RM25,000 kepada Shakila.

Mahkamah telah berpihak kepada Shakila dalam kes saman tuntutan balas dan Engku serta anaknya gagal membuktikan kes ke atas Shakila dan diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM80,000.

Dalam pada itu, Shakila menerusi kenyataan di dalam media sosialnya hari ini berkata, peguamnya telah mengeluarkan Notis Tuntutan (LOD) bagi pihaknya dan Mufti Perlis terhadap Engku Fadzil berhubung dakwaan Muft Perlis membiayai peguamnya.

Shakila, pada tahun lalu, pada sidang media membuat dakwaan dirinya ditipu dalam perkahwinan selepas mendakwa pernah menggugurkan kandungan dalam janinnya yang ketika itu berusia sebulan, hasil persetubuhan luar nikah.

Dia mendakwa berbuat demikian selepas dipujuk oleh keluarga suaminya dengan alasan fatwa di dua negeri itu menghalalkan perbuatan berkenaan.

Shakila kemudian berkahwin dengan suaminya pada 22 Mei 2022 sebagai janji menggugurkan janin itu.

Selepas enam bulan berkahwin, Shakila berkata dia menggalami keguguran dan doktor memaklumkan dia mengalami chemical pregnancy iaitu kesan kepada pembuangan kandungan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, lapan hari selepas mengalami keguguran, suaminya memfailkan perceraian di mahkamah syarikah atas alasan yang tidak munasabah dan ia membuatkannya mengalami tekanan yang sangat teruk hingga pernah melakukan cubaan membunuh diri sebelum ini.

Shakila pernah memenangi gelaran Miss Lumiere International World Borneo 2021, Miss India Worldwide Malaysia 2018 (Miss Beautiful Skin) dan Miss Malaysia Kebaya 2017/2018. – 29 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related