Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kestabilan politik buka laluan kerajaan susun semula subsidi: Morgan Stanley | Scoop

Kestabilan politik buka laluan kerajaan susun semula subsidi: Morgan Stanley

Morgan Stanley Investment Management menjangkakan kenaikan harga RON95 mungkin dilaksanakan secara berperingkat mulai akhir tahun ini atau awal 2025

4:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kestabilan politik dan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan Malaysia baru-baru ini membuka laluan untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan penting, termasuk menyusun semula subsidi bahan api dan tenaga yang tinggi, menurut Morgan Stanley Investment Management.

Firma itu menjelaskan sebagai penerima manfaat utama daripada strategi “China Plus One”, Malaysia berkedudukan baik untuk meraih lebih banyak pelaburan terutama dalam sektor pusat data Malaysia yang semakin berkembang.

Negara ini juga berpeluang baik untuk memanfaatkan “perang teknologi” yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat dan China, tambah firma pengurusan pelaburan itu.

“Kami percaya perhatian perlu diberikan sekali lagi kepada Malaysia. Kestabilan politik telah menggalakkan pembaharuan yang amat diperlukan.

“Ekonomi Madani, pelan pembangunan 10 tahun yang dilancarkan pada Julai 2023 pula bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi wilayah di luar Semenanjung Malaysia dan meningkatkan kecekapan syarikat berkaitan kerajaan,” tambahnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Firma itu juga memaklumkan subsidi mencecah 4.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, membentuk hampir 25% daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.

“Belanjawan tahun ini telah mengunjurkan pengurangan subsidi lebih 30%,” tambahnya.

Morgan Stanley Investment Management menjelaskan kerajaan telah menghapuskan sokongan terhadap ayam dan telur, dan menggunakan subsidi bersasar ke atas diesel dan elektrik.

“Ujian sebenar akan datang adalah dengan rasionalisasi harga RON95, yang membentuk kira-kira 60% daripada subsidi bagi 2023,” menurutnya.

Firma itu juga menjangkakan kenaikan harga RON95 mungkin dilaksanakan secara berperingkat mulai akhir tahun ini atau awal 2025.

Dari aspek positif, Malaysia menyaksikan lonjakan semula pelaburan langsung asing (FDI) selepas beberapa tahun mencatatkan prestasi FDI tidak berubah.

“Sejak 2021, Malaysia telah menarik pelaburan berkaitan data bernilai AS$24 bilion yang membantu mempromosikan negara ini sebagai hab pusat data Asia,” jelasnya.

Firma itu menambah, berdasarkan kawasan yang ditawarkan pada kos yang berpatutan, elektrik dan air serta keadaan geografi di luar lingkungan gempa bumi, Malaysia menjadi destinasi menarik bagi syarikat teknologi, sekali gus boleh menyokong ringgit. – 24 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related