Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
RON95: Pengusaha stesen minyak bimbang dibebankan dengan caj tambahan | Scoop

RON95: Pengusaha stesen minyak bimbang dibebankan dengan caj tambahan

Bashir berkata, seperti yang berlaku dalam penyasaran diesel, pengusaha terpaksa menanggung caj perkhidmatan setiap kali kad fleet digunakan oleh pengguna

9:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengusaha stesen minyak menggesa supaya mereka tidak dibebankan dengan kos dan tambahan caj perkhidmatan apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

Bercakap kepada Scoop, Setiausaha Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Bashir Ab Razak berkata, seperti yang berlaku dalam penyasaran diesel, pengusaha terpaksa menanggung caj perkhidmatan setiap kali kad fleet digunakan oleh pemegang kad itu.

Beliau berkata, caj itu pula terpaksa ditanggung menerusi komisyen yang tidak disemak semula strukturnya oleh kerajaan sejak lima tahun, sekali gus memberi tekanan kepada pengusaha.

“Kita setuju dengan langkah rasionalisasi subsidi RON95 ini. Cumanya, kita tak nak disebabkan kerajaan dah merasionalisasi subsidi ini, pengusaha yang terpaksa menanggung kos tambahan.

“Apa-apa pun langkah kerajaan nak buat, harus melibatkan pengusaha, katakanlah kalau ada kos tambahan pun, akan dibayar balik menerusi komisyen, jadi perkara itu adil untuk kita.

“Apa yang sangat tidak adil adalah apabila kita terpaksa menanggung kos lebih (tambahan) untuk menjayakan hasrat kerajaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai mekanisme pengagihan, Bashir berkata, adalah lebih baik jika kerajaan memberikan wang tunai terus kepada mereka yang layak mendapat subsidi petrol.

“Kalau boleh duit subsidi diberi kepada rakyat, jadi harga di pam sama untuk semua orang.

“Kerajaan pernah bagi wang untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), jadi kerajaan dah ada data penerima yang layak, mereka ada akaun bank dan (wang) boleh dimasukkan bersama dengan STR atau secara bulanan.

“Atau guna kaedah seperti Budi Madani atau e-dompet, pastikan mereka berbelanja di stesen minyak.

“Tapi kita fahamlah, kerajaan kadang-kadang tak nak bagi wang tunai kerana duit itu digunakan penerima untuk perkara lain pula.

“Kita juga percaya data PADU sudah mempunyai (maklumat) penerima, ada berapa kenderaan, berapa banyak penggunaan petrol, jadi saya tak rasa ada keperluan untuk pergi tapis pula di stesen minyak, dia dah tahu dah profil penerima ini,” katanya.

Ditanya bagaimana jika Mykad digunakan, Bashir berkata kaedah itu kemungkinan besar akan melibatkan penggunaan peralatan baharu dan pertambahan masa untuk transaksi tersebut dijalankan.

“Dari sudut perniagaan, kita tak gemar kerana penambahan proses akan menyebabkan masa bertambah, kos meningkat selain kos bagi caj perkhidmatan untuk menguruskan duit subsidi itu,” katanya.

Bashir turut memberitahu Kementerian Ekonomi tidak pernah melibatkan PDAM untuk membincangkan mekanisme penyasaran subsidi RON95 biarpun persatuan itu telah menghantar surat bagi membolehkan mereka turut serta dalam perkara berkenaan.

“Setakat ini kita belum pernah dipanggil Kementerian Ekonomi untuk sampaikan pandangan dan cadangan walaupun kita dah tulis surat kepada menteri pada Januari lalu, tapi tiada maklum balas hingga kini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan menggunakan kaedah harga dua peringkat bagi pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 tahun depan, dengan mekanisme pengagihan akan ditentukan kelak.

Beliau berkata, kaedah itu sedikit berbeza dengan pelaksanaan subsidi diesel yang menggunakan kad fleet, berikutan majoriti rakyat iaitu 85% akan menikmati subsidi berkenaan.

“Pelaksanaannya adalah harga minyak hanya perlu dibayar pada harga pasaran oleh orang yang tidak layak dapat subsidi, yang disebut golongan T15.

“Siapa T15, kita akan lalui proses (untuk menentukan). Bagi 85 peratus (rakyat yang lain), jika harga sekarang RM2.05, itulah yang perlu dibayar,” kata Rafizi.

Pada pembentangan Bajet 2025, Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan.

Katanya, 85% rakyat bagaimanapun tidak akan terkesan dengan langkah itu, yang membawa penjimatan dana kerajaan sebanyak RM8 bilion. – 20 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related