Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
‘Bukan sahaja rakyat, wakil rakyat, menteri mungkin PM juga mangsa birokrasi’ : Puad Zarkashi | Scoop

‘Bukan sahaja rakyat, wakil rakyat, menteri mungkin PM juga mangsa birokrasi’ : Puad Zarkashi

Rakyat ditendang ke sana ke mari, walhal boleh guna ‘budi bicara’ jika komited untuk bantu rakyat : Puad Zarkashi

5:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bukan hanya rakyat yang berdepan dengan kerenah birokrasi sebaliknya wakil rakyat dan mungkin Perdana Menteri juga menjadi mangsa, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Malah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, birokrasi menjadi punca rakyat terus teraniaya dengan ketirisan dan rasuah semakin berleluasa termasuk kewujudan little napoleon selain ada pegawai yang mengambil mudah.

Justeru beliau menyambut baik peruntukan sebanyak RM25 juta untuk Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang antara fungsinya ialah memendekkan proses kelulusan di bawah Ikhtiar Reformasi Kerenah pada pembentangan Bajet 2025 semalam.

“Jawapan standard kerenah birokrasi ialah ‘kena ikut peraturan’, ‘tiada peruntukan’, ‘bukan urusan kami’. Rakyat ditendang ke sana ke mari. Walhal boleh guna ‘budi bicara’ jika komited untuk bantu rakyat.

“Ambil saja contoh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA). Ada kes orang asli memohon rumah. JKOA Johor dan Batu Pahat tolak permohonan kerana dalam IC (kad pengenalan) pemohon dia tidak didaftar sebagai orang aşli.

“Sebenarnya JKOA boleh saja bantu dia didaftar sebagai orang asli.

“Kalau Ketua Kampung dan Tok Batin tidak mahu sokong kerana ada pergeseran peribadi, JKOA boleh sahkan status mereka. Pokoknya janganlah kerana birokrasi, masalah rakyat terbantut bertahun tanpa penyelesaian,’’ katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Dalam pembentangan Bajet 2025 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata STAR yang diterajui Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) bertanggungjawab menyelaras isu-isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan di hospital serta kaunter imigresen dan kelancaran urusan perniagaan.

“Antara pencapaian besar Pasukan STAR termasuklah memendekkan proses kelulusan di bawah Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi,’’ katanya.

Anwar turut memberitahu, sebanyak RM25 juta disediakan kepada STAR antaranya untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi memperluas Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi di semua agensi 36 kerajaan.

Ini termasuk mengkaji peraturan yang boleh memendekkan proses kelulusan untuk kemudahan rakyat, peniaga dan pelabur.

Mengulas lanjut, Puad berkata, birokrasi menyebabkan benda paling mudah seperti rumah sampah dan tandas awam jadi buah yang tidak akan gugur di Kampung Bumiputra Dalam. – 19 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related