KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) baharu tahanan di rumah bakal dibentang di Parlimen pada tahun hadapan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kabinet, katanya telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan RUU terbabit.
Menurutnya, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara kini dalam proses untuk menggubalnya.
“Ketika ini RUU berkaitan sedang digubal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Datuk Seri Nordin Muhamad) sebagai pemegang taruh.
“Selepas RUU itu digubal kita akan membentangkan kepada Kabinet sebelum dibentangkan kepada Parlimen dan jangkaannya pada tahun depan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian pada hadir Program Satu Pemimpin Satu Kampung Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di Kampung Bukit Tiu, Kelantan, hari ini.
Pada pembentangan Bajet 2025 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
“Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau oleh Pegawai Penjara,’’ katanya. – 19 Oktober, 2024